Jumaat, 29 Julai 2016

Pahang buktikan keunggulan

ARKIB : 05/04/1998
PAHANG membuktikan keunggulan apabila membuat permulaan baik dalam perlawanan pertama bola sepak Liga Perdana Satu apabila menewaskan Sabah 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi, lapor HARON SHAFIE.

Gandingan Azizul Kamaluddin, Azaruddin Aziz dan bintang import Jozsef Duro jelas menunjukkan kegagahan Pahang dalam kempen baru ini.

Semua gol Pahang dijaringkan oleh ketiga-tiga pemain itu dalam perlawanan yang menyerlahkan kekalutan pasukan Sabah.

Masih segar dengan kemenangan ke atas Selangor pada perlawanan amal minggu lalu, Pahang membuka jaringan menerusi Duro pada minit ke-39 sebelum menambah dua gol pada babak kedua menerusi Azizul pada minit ke-76 dan Azaruddin Aziz minit ke-87.

Babak pertama menyaksikan penguasaan pasukan pelawat dengan gerakan-gerakan tersusun manakala Sabah lebih banyak bertahan.

Pahang kerap mengancam kubu Sabah tetapi setiap percubaan tersasar jauh dari gawang selain kekentalan benteng pertahanan Sabah.

Pahang hanya mendapat satu peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-26 apabila tendangan Azaruddin Aziz terkena tiang gol.

Corak permainan pasukan tuan rumah itu akhirnya membawa padah apabila Duro menghukum kelalaian benteng pertahanan apabila merembat masuk pada minit ke-39.

Gol berpunca daripada hantaran cantik Azizul Kamaluddin dari sebelah kanan gol yang tepat menuju ke kaki Duro yang tidak membuang masa merembat kencang menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Azman Mohamad.

Tidak banyak ancaman dicipta Sabah di kubu Pahang kecuali percubaan pemain import Tibidi Alexis yang tersasar sipi dari tiang gol.

Di hadapan 16,000 penyokong sendiri, Sabah gagal mempamer aksi seperti yang dijanjikan sebaliknya bertambah kucar-kacir pada babak kedua.

Kesempatan itu terus digunakan sebaiknya oleh Pahang dengan menyumbat dua lagi gol.

Jika gol pertama hasil gerakan Azizul, gol kedua dijaringkan oleh pemain itu sendiri apabila menerima hantaran cantik daripada Azaruddin.

Dan gandingan Azaruddin-Azizul sekali lagi menghukum benteng Sabah apabila giliran Azaruddin pula menggegarkan jaring lawan hasil umpanan Azizul.

SABAH: Khairul Azman Mohamed, Andrew Majamjim, Burhan Ajui, Veselin Kovacevic, Madzelan Emoi, David Rocastle, Henry Saimpon, Jekerison Kilan, Yap Wai Loon, Tibidi Alexis.

PAHANG: Mudzar Mohamad, Jalaludin Jaafar, Suhaimi Mohd. Nor, Khairulniza Mustafa, Mohd. Ali Mohd. Sahar, Emanuel Kofi Ampiah, Azizul Kamaluddin, Sharulnizam Sahat, Zulhamizan Zakaria, Mohd. Azaruddin Aziz, Jozsef Duro.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Frl2pypm © Utusan Melayu (M) Bhd