Rabu, 15 Mac 2017

Pengajaran bagi Pahang



ARKIB : 14/02/2001
SATU lagi pengajaran berguna diperoleh Pahang selepas menewaskan pasukan Perdana Dua, KL Malay Mail 1-0 pada perlawanan persahabatan menjelang persaingan bola sepak Piala FA, pertengahan bulan depan.

Ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus Alif berkata, bertindak secara agresif dan mengamal rentak panas merupakan antara elemen yang berjaya dikutip oleh anak buahnya pada perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.

Menurut beliau, anak buahnya juga diyakini sudah semakin matang dalam menyesuaikan diri dengan aksi yang berbeza ditampilkan oleh pelbagai pasukan Liga Malaysia.

``Tekanan corak agresif amalan KL Malay Mail berjaya mematangkan dan amat berguna buat Pahang. Persefahaman pemain juga tampak sudah mula terpupuk,'' katanya selepas perlawanan persahabatan ketiga Tok Gajah itu.

Jaringan kemenangan Tok Gajah itu disumbangkan oleh pemenang bersama Kasut Emas Perdana Satu 2000, Azizul Kamaluddin yang kali ini bermain secara sepenuh masa.

``Persembahan kami cuma bagus sekitar 30 peratus dan selebihnya masih memerlukan lebih banyak usaha untuk membaiki dan menggilap,'' kata Yunus.

Apa pun jika mengukur dari segi keputusan, Pahang dianggap masih kebal daripada sebarang kekalahan selepas tiga perlawanan persahabatan setakat ini.

Terdahulu Tok Gajah menang 4-3 ke atas skuad Piala Emas Raja-Raja senegeri sebelum sekadar seri 1-1 dengan satu lagi pasukan Perdana Dua, Telekom Melaka yang kedua-duanya berlangsung di Kuantan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4bOoBQDDN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan