Ahad, 22 April 2018

DOLLAH diharap mampu ulangi kejayaan musim lalu

Pahang intai final Piala FA
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang optimis skuad kendalian Dollah Salleh mampu mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA musim lalu selepas membenam pasukan pilihan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-0 di suku akhir, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Suffian menegaskan pemain perlu mengekalkan komitmen dan semangat tidak mengenal erti putus asa biarpun berdepan pelbagai masalah terutama kecederaan seperti yang diperagakan ketika membaham Harimau Selatan di laman keramat mereka.  

Katanya, apa yang lebih penting skuad Tok Gajah dan tidak memandang rendah kemampuan PKNP FC yang akan ditemui di separuh akhir, 23 Jun nanti.

"Saya berterima kasih kepada semua pemain yang dapat melalui 90 minit perlawanan di Larkin dengan mempamerkan corak permainan yang mantap dan bertenaga. 

"Kejayaan ini membuktikan mereka mampu melakar kemenangan jika dapat beraksi dengan baik dan pada masa sama mengikut percaturan jurulatih. 

"Sebenarnya, tiada yang mustahil untuk mencatat kemenangan dan saya percaya kejayaan ini pasti menjadi tonik terbaik menghadapi separuh akhir menentang PKNP sekali gus mengulangi pencapaian mara ke final musim lalu," katanya.

Pada aksi suku akhir kedua Jumaat lalu, hatrik Patrick Cruz memastikan Pahang melangkah ke separuh akhir dan kemenangan itu juga melebur rekod tanpa kalah Harimau Selatan di laman sendiri sejak 2014.

PKNP pula mara selepas menewaskan pendahulu Liga Perdana, FELDA United FC 2-1 di Stadium Tun Razak, Jengka, untuk mengikat agregat 2-2 sekali gus layak berdasarkan jaringan di gelanggang lawan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE  Ahad, 22 April 2018 | 12:20pm

Sabtu, 21 April 2018

Pahang cari pengganti Forkey Doe

Shahrulanoor Ishak
19 April 2018 3:00 AM
FORKEY DOE (kiri) mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam
FORKEY DOE (kiri) mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam saingan Piala FA bulan lalu.

KETUA jurulatih Pahang, Dollah Salleh tidak menolak kemungkinan menggantikan Francis Forkey Doe dengan penyerang setara atau lebih baik menerusi jendela perpindahan yang akan dibuka pada Mei depan.

Ketika ini, Forkey Doe terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) ketika membantu Pahang menyingkirkan Kedah pada pu­singan ketiga Piala FA 2018 di Kuantan pada 17 Mac lalu.


“Saya pun ada rasa macam itu (mencari pengganti Forkey Doe). Tak dinafikan, ketiadaan Forkey Doe memang beri masalah kepada pasukan terutama semasa berada di depan pintu gol.

“Kalau perlu pengganti Forkey Doe, kita kena tunggu jendela perpindahan Mei nanti,” ujar Dollah mengulas perancangan pasukan itu selepas terikat tanpa jaringan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala FA baru-baru ini.

Ketiadaan Forkey Doe jelas memberi masalah kepada skuad Tok Gajah untuk melancarkan serangan secara berkesan, sekali gus merencatkan usaha Pahang untuk mencipta peluang.

Corak serangan tanpa hantaran tepat daripada pemain import Liberia itu juga memberi kesulitan kepada penyerang kelahiran Brazil, Patrick Cruz untuk melakukan jaringan.

“Selain Forkey Doe, beberapa pemain lain juga ada masalah kecergasan dan ini menyukarkan kita untuk menyusun kesebelasan terbaik,” ujar Dollah.

Ketika aksi terikat tanpa jaringan dengan JDT di Kuantan pada 4 April lalu, Cruz serta pemain tengah, Nor Azam Azih masing-masing menghadapi masalah kecergasan akibat kecederaan kaki yang dialami sebelum ini.

Ia sekali gus meletakkan kawasan tengah skuad Tok Gajah berada dalam situasi kucar-kacir serta tidak tersusun terutama ketika melancarkan serangan dan semasa menghadapi asakan JDT pada aksi tersebut.

“Saya harap, pemain-pemain kembali cergas sepenuhnya dan mendapat keyakinan yang lebih baik untuk bermain pada suku akhir kedua Piala FA di Johor Bahru (esok),” tambah bekas pengendali skuad kebangsaan itu.
SUMBER-KOSMO ONLINE 19 April 2018 3:00 AM



DOLLAH akui mengarahkan anak buahnya menyekat barisan tengah JDT.

Dollah dedah rahsia kemenangan Pahang
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Perancangan dan pelaksanaan taktikal yang tepat membuktikan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh ditewaskan di stadium keramat mereka, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada aksi suku akhir kedua Piala FA, malam tadi.

Lebih manis, kemenangan 3-0 pasukan Pahang dicatat ketika pemain utama masih belum pulih 100 peratus daripada kecederaan.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, rahsia menewaskan JDT adalah dengan mematikan gerakan barisan tengah skuad kendalian Raul Longhi.

Menurutnya, walaupun terpaksa membariskan kesebelasan utama 'tempang' berikutan beberapa pemain utama, Matthew Davies, Safuwan Baharuddin, penjaring hatrik Patrick Cruz dan Mohamadou Sumareh tidak cergas 100 peratus, komitmen tinggi mereka memastikan Pahang mara ke separuh akhir dengan penuh bergaya.

"Sebenarnya memang kita merancang untuk mematikan bahagian tengah JDT yang juga nadi dan kekuatan pasukan itu," kata bekas pemain dan pengendali skuad kebangsaan itu.

"Walaupun dalam sesi latihan saya tidak dapat melatih pemain membentuk taktikal dirancang, tetapi pemain saya faham apa yang saya mahu.

"Tiga pemain tengah JDT adalah nadi utama pasukan itu dan apabila kami menyekat penguasaan mereka, kami dapati Natxo (Insa), Hariss (Harun) dan Nazmi (Faiz Mansor) tiada ruang untuk mengawal bola.

"Kita matikan langkah ketiga-tiga pemain tengah JDT daripada mengumpan bola kepada sayap kanan dan kiri dan ia menyukarkan Gonzalo (Cabrera) menyusup masuk selain membataskan pergerakan Safawi (Rasid)."

Dollah sendiri tidak menyangka Cruz yang masih belum cergas 100 peratus mampu meledak hatrik manakal Sumareh yang demam panas masih mampu memberikan persembahan terbaik untuk memastikan Pahang melangkah ke separuh akhir.

Katanya, Davies sepatutnya tidak diturunkan tetapi tetap mahu berada dalam kesebelasan utama walaupun hanya diberikan panduan untuk mengawal corak permainan Cabrera.

"Safuwan yang mengalami kecederaan dan pulang ke Singapura Jumaat lalu untuk mendapat rawatan hanya menjalani latihan ringan, tiga hari sebelum ke Johor Bahru dan latihan yang dilakukan bukan di tahap 100 peratus.

"Saya berpuas hati dengan persembahan setiap pemain yang diturunkan, malah ketika aksi babak kedua saya beritahu pemain jika mereka kekalkan corak permainan seperti babak pertama tidak mustahil kita akan menang.

"Walaupun dalam kedudukan selesa, saya tidak mengubah corak permainan kerana sedar jika diberi ruang, JDT boleh menghukum kami," katanya.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 21 April 2018 | 2:20pm

Tok Gajah mengamuk di Larkin

21 April 2018 3:00 AM
 CRUZ (dua dari kanan) muncul wira apabila menjaringkan hatrik ketika membantu Pahang menewaskan JDT
CRUZ (dua dari kanan) muncul wira apabila menjaringkan hatrik ketika membantu Pahang menewaskan JDT 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA di Larkin malam tadi.

REKOD bersih Johor Darul Ta’zim (JDT)  di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin iaitu tidak pernah kalah selama tiga tahun akhirnya lebur di tangan Pahang selepas wakil Pantai Timur itu menewaskan Harimau Selatan 3-0 di gelanggang keramat mereka pada aksi suku akhir kedua Piala FA malam tadi.

Skuad Tok Gajah melakar kejutan apabila menjadi pasukan pertama mengalahkan juara empat kali berturut-turut Liga Super itu yang mana kali terakhir skuad Harimau Selatan tewas di laman sendiri kepada Felda United pada 28 November 2015.

Penyerang kelahiran Brazil, Patrick Cruz muncul wira buat pasukan bimbingan Dollah Salleh apabila menjadi watak utama kejayaan membanggakan tersebut dengan mencipta hatrik menewaskan JDT.

Dalam aksi itu, Cruz tidak mengambil masa lama untuk membuka tirai jaringan pada minit kesembilan selepas memanfaatkan hantaran jauh rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias.

Pemain berusia 25 tahun itu terus menjadi duri dalam daging buat JDT apabila menjaringkan gol kedua skuad Tok Gajah pada minit ke-58 dan melengkapkan kemenangan Pahang menerusi gol ketiga pada minit ke-76.

Pahang yang seri tanpa jaringan menentang JDT pada aksi pertama akan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam aksi separuh akhir selepas kelab itu menyingkirkan pasukan pilihan, Felda United dengan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2.

Pada aksi timbal balik kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka itu, PKNP FC mengalahkan skuad kendalian B. Sathianathan 2-1 menerusi dua jaringan Muhd. Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-15 dan 43, manakala gol tunggal Felda dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-26SUMBER-KOSMO ONLINE 21 April 2018 3:00 AM

Tok Gajah berdepan situasi sukar

ROSILAWATI ROSEDI 20 APRIL 2018
Dollah Salleh
Dollah Salleh
KUANTAN - Kem Tok Gajah berdepan situasi sukar selepas beberapa pemain utama mereka mengalami kecederaan.

Situasi itu diakui Ketua Jurulatih, Dollah Salleh dalam menyenaraikan kesebelasan utama Pahang apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Menurutnya setakat ini dua pemain utama iaitu Matthew Davies dan Safuwan Baharudin masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Selain itu, bekas jurulatih kebangsaan itu turut memberitahu, pemain tengah Mohamadou Sumareh mengalami demam panas manakala penyerang, Norshahrul Idlan Talaha hanya dapat bersama pasukan, esok.

“Setakat ini, apa yang boleh saya katakan adalah keputusan sama ada Davies, Safuwan, Sumareh dan Mat Yo (Norshahrul) dapat beraksi atau tidak hanya diketahui esok (hari ini).

“Saya tetap bawa mereka ke Larkin kecuali Mat Yo yang tidak bersama kerana isterinya keguguran untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik bertemu JDT.

“Namun, jika mereka tidak dapat bersama, saya tiada pilihan lain dan mengharapkan pemain yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan tugas masing-masing,” katanya lagi.

Tegasnya, peluang masih lagi ada walaupun skuad itu berdepan situasi sukar namun ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pemain selain menuntut prestasi terbaik dapat diterjemahkan di halaman tuan rumah.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE Jumaat, 20 April 2018 | 11:34am

Jumaat, 20 April 2018

TERKINI SUKU AKHIR KEDUA PIALA FA


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Johor Darul Ta'zim  0 - 2   Pahang
                                             m-9,m-59 Patrick Cruz


Felda United 1 - 2   PKNP
                             m-15 Shahrel Fikri
m-26 Wan Zack Haikal

TERKINI SUKU AKHIR KEDUA PIALA FA


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Johor Darul Ta'zim  0 - 1   Pahang
                                             m-9 Patrick Cruz


Felda United 1 - 1   PKNP
                             m-15 Shahrel Fikri
m-26 Wan Zack Haikal

Jumaat, 6 April 2018

KEPUTUSAN MASA PERTAMA PAHANG 0-0 JOHOR DT


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pahang   0-0 Johot DT++
PEMAIN PAHANG
HELMI ELIZA ALIAS ELIAS
MUSLIM AHMAD

Dollah buru kelebihan selesa

Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mahu skuadnya berusaha mencatat keputusan selesa pada suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Justeru, beliau mengharapkan kesebelasan utama yang diberi tanggungjawab dapat menjalankan peranan masing-masing untuk memastikan kemenangan buat skuad Tok Gajah.

Namun, bekas pemain kebangsaan itu mengakui bukan tugas mudah untuk menewaskan Harimau Selatan yang sememangnya diketahui memiliki barisan pemain berpengalaman.

“Kami memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri. Sudah pasti saya harap kemenangan selesa diraih sebagai bekalan apabila bertandang ke Larkin nanti.

“Sokongan padu daripada penyokong juga diharap membantu memberi semangat kepada pemain untuk beraksi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang yakin Tok Gajah akan mencatat kemenangan selesa untuk mencapai misi ke pentas final.

Katanya, persediaan rapi yang dilakukan Dollah terutama memantapkan jentera pasukan di bahagian serangan diyakini mencatat keputusan positif.

“Saya yakin dengan komitmen semua pemain dan kelebihan yang ada apabila beraksi di laman sendiri akan meningkatkan lagi motivasi kepada pemain,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan pada suku akhir Piala FA musim lalu, skuad Tok Gajah mengecewakan Harimau Selatan itu menerusi agregat 4-3.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 6:08 PM