Jumaat, 17 Mac 2017

Azimat berguna kepada Pahang



ARKIB : 02/04/2001
KEMENANGAN bergaya Pahang ke atas naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan 6-2 pada perlawanan pertama saingan Liga Perdana Satu kelmarin pastinya menjadi azimat berguna kepada barisan muda Tok Gajah, lapor YUSWANDI MAJID.

Namun begitu, bagi jurulatih Pahang, Yunus Alif, beliau tidak mahu pemain-pemainnya terlalu asyik dengan pujian sehingga mereka sendiri berada dalam tekanan.

``Perjalanan masih jauh, ini hanyalah sebagai satu permulaan yang baik dan diharapkan dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya,'' katanya.

Beliau berkata, kejayaan pada perlawanan pertama sememangnya amat diharapkan oleh setiap pasukan, sebagai penyuntik semangat bagi mengharungi cabaran seterusnya.

Sebagai pasukan yang dibarisi pemain muda, Yunus berkata, beliau perlu sentiasa memberi motivasi kepada pemain dan mencuba pelbagai strategi untuk membolosi kenkangan lawan.

``Pasukan ini masih dalam proses pembentukan, dan dalam tempoh itu banyak kelemahan perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

``Antara kelemahan yang ketara dapat dilihat pada perlawanan menentang Negeri Sembilan ialah pemain mudah hilang tumpuan selepas berada di hadapan,'' katanya.

Dalam perlawanan malam kelmarin, penyerang muda Azmani Kadir, 22, muncul wira apabila melakukan hatrik, sementara Khairul Anuar Karim, 23, menjaringkan dua gol.

Satu lagi gol disumbangkan oleh pemain kebangsaan, Ahmad Shaharuddin Rosdi.

Kemenangan itu, lebih bermakna bagi pemain-pemain muda Pahang, yang turun tanpa dua tonggak penting, Azizul Kamaluddin dan Azharuddin Aziz.

Yunus berkata, corak latihan sebelum perlawanan itu, yang menumpukan aspek menajamkan serangan telah berjaya mengubah serba sedikit corak permainan Pahang.

Katanya, faktor penyudah yang lemah telah dikenal pasti sebagai kelemahan ketara dalam skuad Pahang dalam perlawanan Piala FA yang menyaksikan pasukan itu tersingkir di pusingan kedua.

``Nampaknya, penekanan terhadap bahagian serangan dalam sesi latihan sebelum perlawanan ini telah berjaya membuahkan hasil walaupun jumlah jaringan yang besar ini adalah di luar jangkaan,'' katanya.

Yunus berkata, dengan keputusan itu, beliau kini mempunyai lebih banyak pilihan selain Azizul untuk merobek gawang lawan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bZO6LegP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan