Selasa, 14 Mac 2017

Latihan pramusim Pahang tanpa tiga tonggak utama

ARKIB : 31/12/2000
Ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus Aliff, berkata, Shaharuddin dan Ali masing-masing diperlukan oleh skuad pelatih kebangsaan sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia, Mac ini.

Hairul pula yang pernah mewakili Malaysia ketika kelayakan Piala Asia, Mac lalu, turut dipanggil menjalani latihan skuad bawah 23 tahun menjelang Sukan SEA di Kuala Lumpur, September depan.

Kedua-dua skuad tersebut dibimbing oleh Allan J. Harris yang baru dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Abdul Rahman Ibrahim, awal bulan ini.

Yunus berkata, ketiadaan mereka meninggalkan cuma 16 pemain akan terus menjalani latihan pramusim Pahang mulai 8 Januari ini di bawah bimbingan beliau sambil dibantu oleh Ahmad Yusuf.

"Latihan peringkat ini tertumpu kepada memantapkan kecergasan fizikal di samping kita menyelitkan serba sedikit gubahan taktikal.

"Penekanan kepada kecergasan menjadi penting terutama kebanyakan pemain sudah pasti terdedah kepada makanan yang berlemak ketika menyambut Aidilfitri,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kuantan, semalam.

Menurut Yunus yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan, beliau juga masih memerlukan masa dalam latihan itu untuk mengenali sebahagian besar pemain yang terdiri daripada muka baru.

Majoriti barisan kali ini menampilkan tenaga muda yang membantu Pahang menggondol pingat emas Sukan Malaysia di Pulau Pinang, Mei lalu di samping pemain liga simpanan.

"Dari situ barulah saya dapat pastikan kaedah latihan yang sesuai untuk menggilap bakat mereka,'' katanya yang kembali bersama Tok Gajah pada 18 Disember lalu sesudah membimbing Terengganu selama dua musim.

Selain trio pelatih kebangsaan, Pahang cuma mengekalkan enam pemain musim lalu iaitu Azaruddin Aziz, Muadzar Mohammad, Suhaimi Mohd. Noor, Jalaluddin Jaafar, Azrul Hisyam Yusof dan Mohd. Al-Rafaie Ali untuk memikul cabaran pada musim depan.

"Saya juga perlu mengenali pemain dalam mencari pengisi peranan penyerang utama yang sesuai ekoran ketiadaan Azizul Kamaluddin,'' katanya.

Antara pemain muda yang bermain sebagai penyerang pada Sukma dan Liga Simpanan ialah Azmani Abdul Kadir, Suhaizi Sulaiman dan Zulkafli Hamid.

Selain Azizul, penyerang Pahang musim ini seperti Wan Rohaimi Ismail, Wan Redzuan Hussin dan Shahrin Majid lebih awal digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sebagai langkah berjimat cermat ekoran masalah kewangan.

Sementara itu, Yunus turut mengharapkan lebih banyak perlawanan persahabatan dapat dilangsungkan bagi mematangkan anak buahnya menjelang persaingan Liga M, Mac ini.

"Lebih banyak perlawanan lebih bagus sebab kami banyak pemain baru. Namun kita mungkin cuma bermain di Pahang kerana masalah kewangan persatuan. Kalau ada di luar pun, mungkin sekitar Te-rengganu atau Kuala Lumpur,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bISt2VR1

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan