Isnin, 24 April 2017

Tekanan buat pendahulu

ARKIB : 20/07/2004
PERSAINGAN untuk memburu gelaran juara pertama Liga Super akan kembali sengit antara empat pasukan teratas, dan ia terpulang kepada hasil perlawanan mereka malam ini.
Perak akan kembali menekan pendahulu, Pahang tetapi skuad Tok Gajah juga sedia sedar akan peluang dua pasukan di bawahnya, Public Bank dan Perlis yang turut mengintai peluang.
Pahang berada di barisan paling depan dengan 34 mata, diikuti oleh Perak (30 mata), Public Bank (28) dan Perlis (24), pasukan di kedudukan paling akhir dalam kelompok itu untuk merebut kejuaraan.
Perlis boleh mengumpul 42 mata maksimum dengan syarat memenangi kesemua baki enam perlawanannya manakala Pahang 52.
Dengan masing-masing hanya mempunyai setengah dozen perlawanan untuk diharungi, maka sebarang kesilapan adalah `rezeki' kepada yang lain.
Dan ia mungkin bermula malam ini.
Dua pesaing teratas akan beraksi di depan penyokong-penyokong sendiri.
Tetapi Perak dilihat memiliki peluang lebih cerah untuk mengutip mata penuh apabila menentang Pulau Pinang di Ipoh ketika skuad Tok Gajah berdepan pencabar kuat, Public Bank di Kuantan.
Perlis pula akan bertemu pasukan yang tidak menentu prestasinya, Sabah di Kota Kinabalu.
Pengurus pasukan Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, kekalahan 4-2 kepada Sarawak, Rabu lalu tidak menjejaskan semangat dan keazaman anak-anak buahnya lantas menganggap persaingan antara mereka dengan Pahang belum tamat.
``Macam-macam boleh berlaku dan Perak berazam mengutip mata penuh dalam enam baki perlawanan,'' katanya di Kuala Kangsar semalam.
Bagaimanapun, Perak mendapat tamparan kerana mungkin terpaksa beraksi beberapa perlawanan tanpa penyerang, Khalid Jamlus yang mengalami kecederaan agak parah.
``Namun kami tidak bimbang kerana beberapa penyerang lain seperti V. Saravanan mampu mengisi kekosongan Khalid,'' Jamal Nasir menjelaskan keyakinannya.
Nasib agak sama menimpa Pahang yang mungkin tidak akan dapat menggunakan khidmat penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar sehingga ke penghujung musim kerana kecederaan di pangkal paha yang serius.
Dan apa kurangnya dengan masalah yang menimpa Perlis kerana ayam tambatannya, Phillemon Chipeta yang telah menjaringkan enam gol tidak akan dapat beraksi menentang Sabah.
Chipeta digantung satu perlawanan setelah menerima tiga kad kuning menyebabkan Singa Utara hanya akan mempunyai dua pemain import iaitu Lamin Conteh Jr. dan Joao Bandoch tetapi dengan Yusri Che Lah yang semakin menyengat dan mengumpul tujuh gol, Perlis tidak perlu terlalu bimbang.
Perlis juga mengambil tindakan berani apabila tidak akan membawa Bernard Semakwezi ke Kota Kinabalu berikutan aksinya yang kurang ketika mereka menumpaskan Kedah 4-0 minggu lepas.
``Kedatangan Perlis ke Sabah tidak lain hanya untuk memburu kemenangan bagi menguatkan kedudukan kami dalam liga,'' pengurus pasukan Perlis, Adzmi Saad melaungkan azam skuadnya.
``Kesempatan bertemu Sabah yang tidak pernah mencatatkan kemenangan sejak 12 perlawanan sebelum ini perlu diambil peluang oleh Perlis walaupun kita menyedari tugas itu agak berat apabila bermain di tempat lawan,'' katanya apabila dihubungi di Kota Kinabalu.
Sabah yang bermain 10 orang ketika tewas kepada Public Bank 13 Julai lalu hanya menang tiga perlawanan dalam pusingan pertama liga iaitu menewaskan Sarawak 3-1, Kedah 2-1 dan Perlis 4-1.
Selebihnya, Sabah yang mendapat sentuhan jurulatih baru dari Portugal, Jose Garrido hanya mencatat keputusan seri sebanyak empat perlawanan dan tewas lapan permainan dengan memperoleh 13 mata dan kini berada di tangga keenam liga.
``Walaupun tanpa Chipeta, saya yakin para pemain akan bermain secara berpasukan dan bukannya memerlukan kehadiran mana-mana individu untuk mengekang dan mengasak lawan,''katanya.
Sementara itu, dua pasukan di tangga terbawah, Sarawak (12 mata) dan Kedah (8 mata) akan bertemu di Alor Star dalam perlawanan yang seharusnya dijadikan tapak untuk melonjakkan semula semangat masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan