Ahad, 30 April 2017

Juzaili bersemangat

ARKIB : 20/11/2004
SETELAH hampir setahun dibelenggu kecederaan pemain tengah Tok Gajah, Juzaili Samion kini kembali meletakkan harapan untuk bangkit semula dengan semangat baru bagi membantu pasukannya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Pemain yang baru berusia 24 tahun itu berjanji untuk memberikan persembahan terbaik apabila Pahang berkunjung ke Perlis pada perlawanan separuh akhir pertama Selasa ini.
Menurut Juzaili, peluang keemasan tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan Tok Gajah tidak kempunan lagi untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
``Saya bersyukur kerana masih berpeluang beraksi untuk musim ini dan mengharap dapat diturunkan apabila bertemu Perlis nanti,'' katanya semalam.
Juzaili dilanda kecederaan serius di bahagian lutut kanannya sewaktu Pahang menentang pasukan Telekom Melaka dalam perlawanan persahabatan di Stadium Selayang, tahun lalu.
Akibat kecederaan itu, dia menjalani pembedahan lutut kanan dan terpaksa berehat selama hampir setahun bagi memastikan kecederaannya itu tidak berulang.
Mengulas lanjut dia berkata, walaupun agak lama tidak bermain tetapi ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk bersama-sama rakan sepasukan berjuang menentang pasukan Perlis.
Juzaili berkata, dia sudah kembali cergas dan bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Tok Gajah setelah berpeluang mengharungi beberapa perlawanan di peringkat kumpulan Piala Malaysia.
``Saya mula bermain sewaktu Pahang membelasah PKNS 5-0 di Stadium Darul Makmur pada September lalu,'' ujarnya.
Ketika ditanya sama ada kecederaan yang dialami telah mengganggu rentak permainannya, Juzaili tidak menafikan yang dia terlalu berhati-hati bagi memastikan kecederaannya tidak berulang.
``Pada awalnya saya berasa agak kekok dan berhati-hati kerana saya takut kecederaan akan berulang tetapi lama-kelamaan saya mula mendapat rentak dan kini saya sudah kembali yakin untuk beraksi 100 peratus di padang,'' katanya.
Pemain itu mendapat bayaran faedah sebanyak RM19,960 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ekoran kecederaan itu.
Menurutnya lagi, dia percaya peluang Pahang untuk mara ke perlawanan akhir amat cerah memandangkan prestasi Tok Gajah kini di tahap terbaik.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4fmdMbpLI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan