Ahad, 23 April 2017

Pahang dianggap berpeluang

ARKIB : 19/06/2004
MUNGKIN masih terlalu awal untuk menyamakan Pahang dengan Arsenal, tetapi kempen skuad yang dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan itu nampak berada di laluan terbaik untuk setidak-tidaknya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka kepada 11 perlawanan dalam kempen bola sepak Liga Super.
Pahang kini menerajui liga selepas mengumpul 24 mata daripada 10 perlawanan - menang tujuh dan kalah tiga. Dan, hakikatnya ialah Pahang menjadi satu-satunya pemilik peluang untuk mengikut jejak Arsenal yang muncul juara Perdana England tanpa kekalahan.
Rekod mereka dirasakan mampu dipanjangkan buat seminggu lagi kerana mereka dijangka tidak akan mengalami kesukaran apabila bertemu Sarawak sekalipun akan bermain di Kuching malam ini.
Pahang inginkan kemenangan buat mengukuhkan kedudukannya sementara Sarawak mencari mata penuh untuk mencari cahaya baru bagi menerangi laluan mereka yang suram pada kempen Liga Super.
Ketika ini, Sarawak belum memperlihatkan bahawa mereka mempunyai kualiti untuk mengubah kedudukan di tangga tercorot walaupun selepas Jalil Ramli mengambil alih tugas selaku jurulatih.
Malah kedudukan mereka mungkin menjadi lebih buruk malam ini.
Dalam pada pemain-pemain Sarawak menunjukkan permainan bawah par, Pahang pula menunjukkan kekuatan konsisten. Ia jelas apabila Pahang masih mampu mencatatkan kemenangan ke atas Johor FC di Pasir Gudang pada Rabu lepas sekali pun Zainal Abidin Hassan tidak menggunakan khidmat beberapa anggota terbaik skuadnya.
Sarawak pula hanya menang sekali, seri empat dan kalah lima untuk sekadar mengumpul tujuh mata.
Ketika Pahang berdepan dengan lawan yang nampak mudah, tiga pencabar terdekatnya, Perak, Perlis dan Public Bank pula mungkin semakin jauh ketinggalan.
Perak dan Perlis yang masing-masing berada enam mata di belakang Pahang, akan berdepan sesama sendiri. Sebarang keputusan sebenarnya melegakan Pahang kerana kemenangan menyebabkan skuad Tok Gajah akan hanya berdepan dengan satu pencabar terdekat. Keputusan seri di Kangar pula menyebabkan kedua-duanya semakin jauh dari Pahang.
Perak sebelum ini tumpas 3-2 kepada Negeri Sembilan dalam kempen suku akhir pertama Piala FA, tanda kurang menyenangkan bagi skuad Toni Netto ketika mereka akan berdepan dengan Perlis yang ketika ini mutu persembahan mereka berada di tahap terbaik.
Kedua-dua pasukan juga sudah tentu risau kerana di belakang mereka Public Bank hanya menunggu peluang untuk memintas. Public Bank yang hanya berada satu mata di belakang akan bertemu Pulau Pinang di Batu Kawan dan ini ialah peluang buat anak-anak buah E. Elavarasan untuk mengembalikan diri mereka di laluan yang pernah meletakkan mereka di tangga teratas Liga Super.
Satu lagi perlawanan dalam persaingan liga lapan pasukan itu akan berlaku di Alor Star apabila Kedah menanti kunjungan Sabah.
Kedah, seperti Sarawak turut tercari-cari tapak buat mengubah nasib. Kedah hanya mengumpul tujuh mata daripada dua kemenangan dan sekali seri manakala Sabah dengan 10 mata berada di tangga kelima, hanya memiliki kelebihan jumlah jaringan ke atas Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan