Isnin, 24 April 2017

Chipeta tunda hajat Pahang

ARKIB : 01/08/2004
PERLIS dan Phillimon Chipeta menunda hasrat Pahang untuk meraikan kejuaraan lebih awal setelah menumpaskan pendahulu Liga Super itu 2-1 dalam perlawanan di Stadium Utama, Kangar semalam.
Tetapi peluang mereka untuk muncul pasukan pertama menjuarai Liga Super tetap cerah apabila pencabar terdekat, Perak sekadar mengutip satu mata di Alor Star.
Ia bermakna seri dalam dua baki perlawanan sudah cukup buat Pahang muncul juara apabila menentang Kedah pada Selasa dan Sabah Sabtu depan.
Pahang mendahului ketika permainan berusia 24 minit. Matthew Bingley meletakkan mereka di depan setelah menanduk masuk bola umpanan Fadzli Shaari.
Keadaan padang yang licin akibat hujan renyai di awal permainan menyukarkan pergerakan kedua-dua pasukan.
Pahang hanya mampu bertahan sehingga minit ke-38 apabila Lamin Conteh Jr. membuat sepakan lambung yang nampak tidak berbahaya. Tetapi bola yang licin gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol, Azmin Azram Aziz untuk membuka peluang kepada Joao Bandoch menolak masuk dengan mudah dari jarak dekat.
Segala-galanya berakhir buat Pahang pada minit ke-52 apabila Chipeta mengambil kesempatan atas kelalaian pertahanan lawan untuk melepaskan rembatan kaki kiri dari dalam kawasan penalti untuk gol kemenangan.
Pahang mengumpul 41 mata daripada 19 perlawanan dan mendahului Perak dengan enam mata.
Perak gagal menggunakan kesempatan ketika bertemu dengan pasukan di tangga tercorot, Kedah di Stadium Darulaman, Alor Star apabila sekadar seri tanpa jaringan.
Mereka kini perlu menang kedua-dua perlawanan dengan jumlah jaringan yang besar jika masih bersemangat untuk merampas kejuaraan yang telah begitu hampir ke dakapan Pahang.
Sementara itu, Pulau Pinang menundukkan Sabah 1-0 hasil jaringan Jose Barreto pada minit ke-31 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang tetapi tidak mengubah kedudukan di tangga kelima dengan 21 mata.
Sarawak pula berpeluang kekal dalam Liga Super apabila mengejutkan Public Bank dengan 1-0 di Stadium Sarawak, Kuching hasil jaringan Ramles Sari pada minit ke-10.
Sarawak melonjak dua anak tangga ke kedudukan keenam dengan 16 mata diikuti oleh Sabah ketujuh dengan 14 mata. Kedah turut mengumpul 14 mata tetapi kembali tercorot kerana perbezaan jumlah gol.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan