Sabtu, 22 April 2017

Pahang tempah tiket ke suku akhir Piala FA

ARKIB : 20/05/2004
PAHANG menempah tiket ke suku akhir bola sepak Piala FA selepas membelasah JPS Kelantan 6-1 dalam perlawanan pusingan ketiga, peringkat kedua di Stadium Darul Makmur semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad Tok Gajah mara dengan agregat 12-1 selepas menang besar 6-0 pada peringkat pertama.
Penyerang veteran, Azizul Kamaluddin membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menyumbangkan dua gol buat Pahang, termasuk gol pembukaan pada minit keenam.
Pemain kebangsaan, Subri Sulong menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-14, sebelum jaringan sendiri pemain JPS Kelantan, Mohd. Akman Rizal Zakaria pada minit ke-26 memberikan gol ketiga buat Pahang.
Azizul menjaringkan gol keduanya dan keempat Pahang pada minit ke-43, manakala dua lagi jaringan tuan rumah diperoleh menerusi Shahrizan Salleh dan Mohd Khairul Jasri pada ke-68 dan ke-74. Gol tunggal JPS Kelantan pula dijaringkan Adnan Musa hasil sepakan penalti pada minit ke-49.
Sementara itu dalam perlawanan Liga Perdana, Terengganu gagal memanfaatkan perlawanan di tempat sendiri apabila tumpas 3-2 kepada MK Land di Stadium Sultan Ismail, semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan MK Land melonjak ke tangga kedua Kumpulan B dengan 17 mata, hanya dipisahkan menerusi perbezaan gol di belakang MPPJ Selangor.
Gol kemenangan MK Land diperoleh menerusi jaringan hatrik Marlon Alex James pada minit ke-47, 48 dan 66. Kedua-dua gol Terengganu disumbangkan oleh Alfa Poto Wabawi.
Dalam satu lagi perlawanan Liga Perdana, Selangor terus beraksi buruk apabila seri tanpa jaringan dengan Polis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Dengan keputusan itu, Selangor kekal di tangga ketiga Kumpulan A, manakala Polis terus menghuni tangga tiga tercorot di atas Tentera dan JPS Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan