Isnin, 24 April 2017

Perak, Pahang jadi tumpuan Bicskei

ARKIB : 05/07/2004
PERTEMUAN sengit dan menarik antara pendahulu Liga Super, Pahang dan Perak di Ipoh kelmarin menjadi perhatian pertama jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei dalam usaha membentuk skuad kebangsaan, lapor Kamaruddin Ismail.
Bicskei, 60, memuji kedua-dua pasukan yang mempamerkan permainan menarik dan mendebarkan apabila saling bekerja keras mencari gol kemenangan.
Dalam perlawanan itu, Perak menang 3-2 sekali gus memusnahkan rekod tanpa kalah Pahang.
Pertahanan Pahang, Jonathan Bass menghadiahkan `gol kemenangan' kepada Perak apabila tindakannya yang cuba menyelamatkan percubaan penyerang skuad Seladang, Frank Seator masuk ke gawang sendiri pada minit ke-90.
Sebelum itu, Perak memperoleh dua gol melalui Seator pada minit ke-34 dan 84.
Gol pertama di peroleh menerusi sepakan penalti setelah pertahanan Pahang, Rosdi Talib menampan bola dengan tangan di atas garisan gol.
Akibat tindakan itu, Pahang terpaksa bermain dengan 10 orang setelah pengadil, Subkhiddin Mohd. Salleh melayangkan kad merah kepada Rosdi.
Gol Pahang dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar pada minit ke-10 dan Fadzli Shaari minit ke-64.
``Ini merupakan langkah pertama untuk mengenali corak permainan para pemain negara ini sebelum memilih mereka dalam skuad kebangsaan kelak,'' kata jurulatih berbangsa Hungary itu ketika ditemui di Ipoh semalam.
Namun begitu, beliau enggan menyatakan pemain-pemain yang memikat hatinya dengan berkata: ``Masih terlalu awal untuk menyatakan penilaian sebenar saya ke atas mereka.
``Berilah saya peluang untuk melihat lebih banyak perlawanan sebelum membuat sebarang keputusan,'' jelas Bicskei yang akan menggantikan Allan Harris.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4fA8oFe7C
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan