Isnin, 24 April 2017

Perak sekat penguasaan Pahang

ARKIB : 04/07/2004
PERAK menyekat Pahang daripada melebarkan penguasaan di tangga teratas bola sepak Liga Super selepas pertarungan antara dua pasukan teratas itu di Stadium Perak, Ipoh semalam memihak kepada tuan rumah dengan kemenangan 3-2.
Pahang yang bermain sepuluh orang sepanjang 55 minit terakhir perlawanan selepas pemain pertahanan, Rosdi Talib dibuang padang kerana menampan bola di atas garisan gol, mendahului 2-1 sehingga perlawanan sebenar berbaki tiga minit untuk ditamatkan.
Bagaimanapun, pemain import dari Liberia, Frank Seator menyamakan kedudukan sebelum gol kemenangan Perak terhasil menerusi jaringan sendiri pemain Pahang, Jonathan Bass pada minit terakhir.
Seator sebelum itu menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-34 menerusi sepakan penalti selepas Hairuddin Omar membuka jaringan untuk skuad Tok Gajah pada minit ke-10.
Fadzli Shaari kemudian kembali meletakkan Pahang di depan menerusi gol pada minit ke-64.
Pahang bagaimanapun masih di tangga teratas liga dengan 31 mata selepas 14 perlawanan tetapi kini hanya memiliki kelebihan satu mata di depan Perak.
Di Stadium Darulaman, Alor Setar, pasukan tuan rumah, Kedah tumbang 3-1 kepada Public Bank.
Ivan Ziga menjaringkan dua gol (23, 86) dan satu lagi gol menerusi Gustavo Fuentes (90). Rafdi Rashid menjaringkan gol tunggal Kedah minit ke-82.
Dalam satu lagi perlawanan, Sabah seri 2-2 dengan Sarawak di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Sementara itu dalam aksi Liga Perdana, MK Land menewaskan Johor 2-1 di Stadium Larkin, Johor Bahru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan