Ahad, 23 April 2017

Pahang kekalkan rekod tanpa kalah

ARKIB : 20/06/2004
PAHANG meneruskan penguasaan dan mengukuhkan kedudukan mereka untuk kekal di persada Liga Super selepas menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan di Stadium Sarawak, Kuching, semalam.
Walaupun pencabar terdekat mereka, Perak turut mencatat kemenangan 3-2 ke atas Perlis di tempat lawan, ia langsung tidak menggugat kedudukan Pahang sama sekali yang terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan setakat ini.
Pahang hanya mengambil masa empat minit untuk memperoleh gol pertama menerusi Indra Putra Mahayuddin sebelum Irwan Fadli Idrus menjaringkan gol kedua pada minit ke-41.
Sarawak cuba bangkit di babak kedua dan memperoleh gol saguhati menerusi Kim Tyrone Grant pada minit ke-65.
Di Stadium Utama Kangar, tuan rumah Perlis gagal menjinakkan Perak untuk merampas kedudukan di tangga kedua Liga Super apabila tewas 3-2.
Liew Kit Kong muncul wira Perak apabila melakukan hatrik pada minit ke-25, 40 dan 83 sekaligus menafikan kebangkitan Perlis yang berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 2-0.
Dua gol penyamaan Perlis sebelum itu dijaringkan Yusri Che Lah pada minit ke-46 dan Lamin Conteh Jr. pada minit ke-82.
Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menjadi pasukan tuan rumah ketiga tewas di tempat sendiri semalam apabila dijinakkan Public Bank 1-0.
Ivan Ziga menjaringkan gol kemenangan dan tunggal perlawanan itu pada minit ke-22.
Kemenangan itu membolehkan Public Bank melonjak satu anak tangga untuk memintas Perlis di tangga ketiga.
Di Stadium Darulaman Alor Star, Kedah sekadar mencatat seri 1-1 dengan Sabah untuk kekal di tangga kedua tercorot.
Kedah lebih dulu membuka jaringan menerusi penalti Marcos Magno Moroles pada minit ke-8 sebelum Robert Gasper menyamakan kedudukan untuk Sabah pada minit ke-39.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan