Sabtu, 8 April 2017

Pahang rampas semula kedudukan pendahulu



09 April 2017 3:00 A
KUALA LUMPUR 8 April – Pahang bangkit daripada ketinggalan untuk menjaringkan dua gol dalam masa dua minit babak kedua sekali gus kembali ke kedudukan teratas Liga Super selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Meskipun berkongsi mata dengan Kedah namun, kemenangan tipis itu sudah cukup untuk Pahang menerajui carta menerusi kelebihan jari­ngan setelah Kedah sekadar mengutip satu mata di Alor Setar.

Kelantan bermula garang di tempat sendiri dan hanya memerlukan 16 minit selepas sepak mula untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi Mohammed Ghaddar yang merembat deras di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gawang Pahang Wan Mohd. Azraie Wan Teh.

Walau bagaimanapun Pahang mempamerkan kebangkitan selepas rehat dan selepas pemain sayap lincahnya Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria meledakkan gol penyamaan pada minit ke-60, Tok Gajah menambah gol kedua hanya dua minit kemudian menerusi pemain dari Brazil, Metheus Alves Leandro yang memperdayakan barisan pertahanan Kelantan untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, Lang Merah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium Darul Aman dalam perlawanan yang terganggu oleh hujan lebat.

Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jari­ngan pembukaan oleh penyerang dari Argentina, Lucas Sebastian Espindola pada minit ke-28, dan walaupun anak buah Tan Cheng Hoe hanya memerlukan lapan minit kemudian untuk menya­makan kedudukan menerusi Zachary Michael Anderson namun usaha mereka untuk mencari gol penya­maan gagal.

Dalam pada itu, Perak gagal mengubat kekecewaan selepas tersingkir daripada saingan Piala FA apabila sekadar seri 2-2 dengan T-Team di Stadium Perak.

Permainan yang bermula hambar disemarakkan dengan rembatan sulung ke gawang lawan oleh Yashir Pinto seawal minit ke-12 untuk meletakkan tuan rumah di depan.

The Titans lebih ber­tenaga pada awal babak kedua dan menyumbat dua gol menerusi Dilshod Sharofetdinov dan Muhammad Fakhrurazi Mu­sa, masing-masing pada minit ke-48 dan 71 tetapi sepakan penalti Abdul Hadi Yahya pada saat-saat akhir masa tambahan menyelamatkan maruah The Bos Gaurus daripada tumpas di laman sendiri.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula Selangor meraih tiga mata penuh setelah menewaskan Sarawak 2-1.

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pahang-rampas-semula-kedudukan-pendahulu-1.467098#ixzz4dhVphi7C
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan