Selasa, 4 April 2017

Pahang tidak gentar lagi



ARKIB : 13/08/2003
PASUKAN Pahang yang diletakkan dalam kumpulan A pada saingan Piala Malaysia bersama Kedah tidak gentar berhadapan dengan naib juara Liga Perdana Satu itu walaupun sebelum itu skuad Tok Gajah itu tewas kedua-dua perlawanan liga, Lapor YUSWANDI MAJID.

Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, sebaliknya undian berkenaan sekaligus memberi peluang kepada Pahang membalas kekalahan itu.

``Memang pertemuan dengan Kedah dinanti-nantikan oleh pemain-pemain kerana sebelum ini kita tewas kepada mereka dua kali,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kuantan, semalam.

Beliau berkata, walaupun prestasi Kedah amat baik musim ini, namun persaingan pada Piala Malaysia adalah berbeza sama sekali dengan perlawanan peringkat liga.

Katanya, pada saingan Piala Malaysia, peluang semua pasukan adalah sama dan hanya pasukan yang benar-benar bersedia mampu melangkah lebih jauh.

``Sudah pasti dalam saingan Piala Malaysia, semua pasukan akan membuat persediaan lebih rapi dan boleh berlaku kejutan.

``Justeru, mana-mana pasukan yang lebih bersedia dari segi taktikal dan aspek permainan yang lain sahaja akan mampu melakar kejayaan,'' katanya.

Beliau berkata, pasukan-pasukan dalam kumpulan A iaitu Kedah, Pahang, Kelantan dan Johor masing-masing mempunyai kekuatan sendiri yang tidak boleh dipandang ringan.

``Pada pendapat saya ini satu kumpulan yang bagus bagi Pahang kerana kesemuanya adalah pasukan negeri,'' katanya.

Menurutnya, bagi Pahang, walaupun telah menewaskan Kelantan sebanyak dua kali dengan jaringan yang besar iaitu 4-1 dan 4-0 pada saingan Liga Perdana Satu, namun para pemain tidak boleh mengambil mudah saingan seterusnya.

Sebaliknya, beliau berkata, para pemain Pahang diminta memberi perhatian setiap perlawanan dan jangan memandang rendah setiap pasukan yang ditemui.

Mengenai perubahan jurulatih, beliau berkata, latihan pasukan Pahang tidak terjejas walaupun mungkin terdapat perubahan dari segi taktikal

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dH7E1sf2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan