Selasa, 4 April 2017

Pahang perlu tajamkan serangan



ARKIB : 22/08/2003
SKUAD Pahang lega dengan kemenangan pada perlawanan sulungnya menentang Kelantan kelmarin walaupun persembahan pasukan berkenaan dilihat masih belum begitu mantap, lapor YUSWANDI MAJID.

Hakikat berkenaan diakui sendiri oleh penolong jurulatih Pahang, Ahmad Yusof yang menyifatkan pasukan itu masih dalam proses menyesuaikan diri dengan format baru permainan.

``Pasukan ini sebenarnya masih `belajar' untuk menyesuaikan diri dengan format 4-4-2, berbanding format lama, 3-5-2.

``Perubahan ini biasa berlaku selepas pertukaran jurulatih dan memerlukan sedikit masa untuk para pemain menyesuaikan diri,'' katanya ketika ditemui.

Pada 7 Ogos lalu, pasukan Pahang dikejutkan dengan perletakan jawatan jurulatihnya dari Brazil, Ralf Borges atas alasan peribadi.

Perletakan jawatan itu memberi tamparan hebat kepada skuad Pahang yang ketika itu bersiap sedia menghadapi kempen Piala Malaysia.

Dengan keputusan yang diambil Borges itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengambil keputusan melantik Yunus Alif untuk menjadi jurulatih.

Yunus bagaimanapun ketika ini masih berada di Jerman bagi mengikuti kursus kejurulatihan dan hanya dijangka pulang minggu depan.

Ahmad berkata, bagi perlawanan seterusnya menentang Johor di Stadium Larkin, esok pasukan Pahang perlu meningkatkan ketajaman jentera serangan.

Katanya, jentera serangan Pahang jelas tumpul pada perlawanan menentang Kelantan sehingga menyaksikan banyak peluang keemasan terlepas begitu sahaja.

``Perlawanan menentang Kelantan adalah satu permulaan yang baik namun para pemain perlu meningkatkan lagi persefahaman selain membiasakan format baru itu,'' katanya.

Beliau berkata, para pemain juga perlu lebih fokus terutama di bahagian serangan bagi mencatatkan kemenangan yang lebih selesa.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dHpP66qr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan