Isnin, 24 April 2017

Pahang tidak mungkin terhalang

ARKIB : 31/07/2004
STADIUM Utama di Kangar bakal riuh rendah dengan sorakan dan jeritan gembira skuad bola sepak Pahang dan penyokong-penyokongnya kerana kemenangan ke atas pasukan tuan rumah, Perlis malam ini akan mengesahkan trofi sulung Liga Super menjadi milik mutlak mereka.
Kemungkinan itu bakal disaksikan jika skuad Tok Gajah berjaya mengatasi Singa Utara dalam aksi ke-19 daripada 21 perlawanan liga itu.
Walaupun kempen masih berbaki dua perlawanan selepas aksi malam ini, Pahang kemungkinan tidak terhalang daripada merangkul trofi itu.
Jika perlawanan di Kangar malam ini memihak kepada Pahang, apa sahaja keputusan perlawanan lain terutama melibatkan saingan utama, Perak dan Public Bank tidak mampu lagi menyekat skuad Zainal Abidin Hassan daripada menjulang trofi Liga Super.
Selepas 18 perlawanan, Pahang kukuh di tangga teratas dengan 41 mata, memiliki kelebihan tujuh mata di depan Perak yang mengumpul 34 mata dan sembilan mata dengan Public Bank.
Namun, Pahang tidak harus terlalu yakin kerana pertarungan merebut gelaran akan kembali terbuka jika Tok Gajah seri atau tewas di Kangar dan Perak dan Public Bank menang ke atas lawan masing-masing.
Tetapi gelaran juara akan tetap disandang Pahang jika mereka tewas kepada Perlis dan Perak turut kecundang kepada Kedah.
Kemungkinan Pahang diikat oleh Perlis atau mungkin tewas tetap ada. Jika melihat kepada dua pertemuan antara dua pasukan itu pada dua pusingan pertama, kedua-dua pasukan sama handal.
Mereka seri 2-2 dalam aksi pertama di Kangar dan seri 3-3 di Kuantan tetapi kelebihan kini memihak kepada Perlis untuk sekali lagi mencatat keputusan serupa atau mungkin terus menghampakan Pahang.
Jika Perlis berjaya meranapkan hasrat Pahang, Zainal Abidin terpaksa menunggu perlawanan berikutnya untuk memastikan gelaran.
Dalam pada itu tiada apa yang diharapkan oleh Perak mahupun Public Bank selain kekalahan Pahang kepada Perlis untuk membuka peluang mereka memburu gelaran.
Perak dan Public Bank juga perlu menang malam ini tetapi mereka berdepan saingan sukar.
Perak berdepan pasukan yang amat mahukan kemenangan, Kedah di Alor Star.
Kedah ketika ini diancam bahaya turun ke Liga Perdana apabila menghuni tangga kedua terbawah liga dengan 14 mata.
Dua pasukan yang menamatkan kempen di tangga terbawah Liga Super akan disingkir ke Liga Perdana mu-sim depan.
Justeru, kekalahan pasti tidak mahu dicatat oleh skuad Kenari dan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta rakan sepasukannya pasti akan bermain bermati-matian untuk mengelak bahaya itu sekali gus menafikan hajat Perak.
Biarpun Kedah tewas kepada Perak dalam dua pertemuan awal sebelum ini, tewas 2-1 di Alor Star dan 1-0 di Ipoh, pertarungan malam ini pasti berbeza.
Begitu juga dengan Public Bank, satu-satunya pasukan bertaraf kelab yang beraksi dalam liga utama ini.
Kemenangan ke atas Sarawak pasti sukar kerana Bujang Senang juga perlukan kemenangan untuk mengelak ke Liga Perdana.
Sarawak di tangga terbawah ketika ini dan hanya satu mata di belakang Kedah dan ketika aksi liga berbaki tiga perla-wanan, pertarungan di Kuching harus digunakan sebaik-baiknya untuk mencari kemenangan.
Sabah yang menduduki tangga ketiga terbawah juga belum selamat dan perlukan kemenangan ke atas Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan