Isnin, 24 April 2017

Pahang kukuh kedudukan

ARKIB : 25/07/2004
PAHANG mengukuhkan cengkaman di tangga teratas bola sepak Liga Super selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, semalam.
Keputusan itu melebarkan kedudukan Tok Gajah dengan 38 mata, empat mata di depan saingan terdekat, Perak yang cuma seri 1-1 di Kuching.
Gol Pahang bagaimanapun hadir pada babak kedua ketika permainan berbaki 20 minit.
Pemain kebangsaan, Mohd. Fadzli Saari melepaskan rembatan kencang ke sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang pada minit ke-20 untuk gol pembukaan sebelum gerakan Indra Putra Mahayuddin menggandakan jaringan menerusi gerakan solonya pada minit ke-83 yang menewaskan penjaga gol, Zuraimi Hassan.
Di Stadium Sarawak di Kuching, Sarawak yang menduduki tanga kedua terbawah liga, menyekat hajat Perak untuk merapati pendahulu, Pahang setelah mengikat Seladang 1-1.
Perak bagaimanapun mengejutkan tuan rumah dengan jaringan penyerangnya, Frank Seator seawal minit pertama tetapi Fernando Manuel menyamakan kedudukan pada babak kedua minit ke-77.
Perak masih kekal di tangga kedua liga dengan 34 mata selepas 17 perlawanan tetapi kini ketinggalan empat mata di belakang Pahang.
Sarawak pula kekal di tangga ketujuh dengan 13 mata.
Pasukan tangga ketiga, Public Bank turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sabah dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Pemain import, Ivan Ziga membuka jaringan pada minit ke-38 sebelum Marko Rudan menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-71.
Stadium Utama di Kangar menyaksikan sembilan gol dijaringkan dalam pertemuan antara pasukan tuan rumah, Perlis yang mencatat kemenangan 6-3 ke atas Kedah.
Begitupun, penyokong tuan rumah senyap seketika apabila Kedah membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Namun Perlis segera bangkit dan menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi jaringan Mohd. Faizal Esahar sebelum Yusri Che Lah meletakkan Perlis di depan pada minit ke-24.
Pemain pertahanan Perlis, Adrien Jurad Chamrong melebarkan kedudukan pada babak kedua dengan jaringan minit ke-52 sebelum Yusri menghasilkan jaringan keduanya 20 minit kemudian.
Pemain import Perlis, Philimon Chipeta terus menggembirakan penyokong sendiri dengan jaringan kelima pasukan lima minit kemudian.
Kedah yang tertekan berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan pemain importnya, Marcos Magno Morales pada minit ke-84 tetapi Zainuddin Ariffin mengecewakan lagi Kedah dengan jaringan keenam skuad Kenari tiga minit kemudian.
Morales kemudian sekali lagi menemui sentuhan gol bagi Kedah untuk menjadikan kedudukan 6-3 sebelum pengadil menamatkan perlawanan.
Perlis kini masih di tangga keempat dengan 27 mata selepas 17 perlawanan manakala Kedah terus menghuni tangga terbawah dengan 11 mata selepas mencatat kekalahan kali ke-12.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan