Isnin, 24 April 2017

Pahang perlu rehatkan Hairuddin

ARKIB : 19/07/2004
PENYERANG lincah, Hairuddin Omar perlu direhatkan atau Pahang dan skuad kebangsaan terutamanya akan menanggung risiko kehilangan khidmatnya.
Hairuddin masih dibelenggu kecederaan teruk di pangkal paha kanan yang dialaminya sejak Mac lepas. Kecederaan itu menyaksikan dia tidak dapat berkhidmat untuk Allan Harris dalam tugasan terakhir jurulatih dari Britain itu bertemu Norwich City dalam perlawanan persahabatan Sabtu lalu.
Penderitaannya itu bagaimanapun seperti tidak disedari oleh Pahang, yang terus menggunakan pemain itu dalam beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini termasuk dalam perlawanan berprofil tinggi menentang Perak dua minggu lalu.
Dalam perlawanan yang dimenangi oleh Perak 3-2 itu, Hairuddin terpaksa menggunakan pil untuk memastikan dia dapat bermain.
``Saya terpaksa mengambil pil itu bagi memastikan saya dapat menghilangkan rasa sakit di paha dan memberi tumpuan terhadap permainan.
``Bagaimanapun, kaki kanan saya masih tidak dapat digunakan sepenuhnya dan terpaksa melakukan percubaan dengan kaki kiri.
``Perlawanan dengan Perak tempoh hari adalah pengalaman manis buat saya kerana menjaringkan gol menggunakan kaki kiri, yang mana tidak pernah saya lakukan sebelum ini,'' kata Hairuddin. ``Malangnya kami tewas dan saya kecewa dengan keputusan itu kerana kami pada mulanya telah bermain dengan begitu baik.''
Pahang mendahului 2-1 ketika permainan berbaki kira-kira 10 minit sebelum Perak mendapat gol penyamaan pada minit ke-86 dan Jonathan Bass tersepak bola ke dalam gawang sendiri untuk gol kemenangan skuad Seladang.
Pahang, yang kini mengumpul 34 mata daripada 15 perlawanan, akan mengharungi satu lagi perlawanan sukar esok apabila bertemu Public Bank yang berada di tangga ketiga Liga Super dengan 28 mata.
``Saya sangkakan sudah boleh bermain setelah berehat panjang tetapi selepas bertemu Perak saya rasakan kecederaan saya semakin teruk,'' katanya. ``Saya tidak mahu lagi bergantung kepada pil itu kerana saya sedar saya mengundang risiko.''
Penyerang yang berasal dari Terengganu itu cedera ketika menyarung jersi kebangsaan dalam kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait di Kuantan Mac lepas.
Hairuddin telah menjaringkan tiga gol dalam liga termasuk gol pertama perlawanan ketika menentang Perak dua minggu lepas. Gol pertamanya dihasilkan ketika Pahang menang 2-1 ke atas Public Bank pada Mac, yang kedua ketika Pahang menewaskan Kedah 4-3 pada April dan selepas itu dia hanya duduk di tepi padang menyaksikan rakan-rakannya berlatih.
Tanpa Hairuddin, pendahulu liga, Pahang dilihat masih mampu mempertahankan kedudukan mereka dengan kehadiran ramai pemain bintang termasuk pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.
Jika Hairuddin terus bermain, bukan sahaja Pahang tetapi skuad negara yang akan menyertai Kejohanan AFF (Persekutuan Bola Sepak Asia ASEAN) pada Disember ini mungkin juga akan kehilangan khidmatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan