Isnin, 24 April 2017

JDT tunduk di kaki Pahang di bumi Johor


 
GUERRA (tengah) menjaringkan gol kedua JDT pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Pahang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi. Johor menang 2-1 tetapi kalah agregat 4-3 kepada Pahang. 

JUARA bertahan Piala FA, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tunduk di kaki Pahang pada aksi suku akhir kedua kejohanan tersebut di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Jaringan penyerang import Pahang, Mahamadou Sumareh pada minit ke-87 sudah cukup untuk membawa skuad Tok Gajah melangkah bergaya ke pusingan separuh akhir dengan kelebihan agregat 4-3.
Walaupun JDT mendahului 2-0 pada perlawanan tersebut, tetapi jaringan Sumareh pada minit-minit akhir telah membunuh impian skuad Harimau Selatan untuk mempertahankan piala berprestij itu.
Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 1 April lalu, skuad kendalian Dollah Salleh itu menang 3-1.
Malam tadi, JDT menang 2-1 tetapi kemenangan tersebut tidak memberi apa-apa makna kerana ia belum cukup untuk membawa mereka melangkah ke separuh akhir.
Pada perlawanan tersebut, JDT tidak menunggu lama untuk meloloskan diri apabila memperoleh gol pembukaan menerusi Gonzalo Cabrera pada minit kelima sebelum Gabriel Guerra menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-22.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, JDT seolah-olah sudah yakin dengan kelebihan jaringan 2-0 sehingga menyaksikan mereka tidak begitu ghairah untuk menambah jaringan.
Sebaliknya, Pahang yang semakin agresif dan usaha pasukan dari pantai timur itu berhasil apabila memperoleh jaringan penting menerusi tandukan Sumareh pada minit ke-87 untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus mengesahkan kemaraan Pahang ke separuh akhir.
Pahang akan menyertai tiga lagi pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir iaitu Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Aksi separuh akhir pertama akan berlangsung pada 28 April nanti dengan Pahang bakal menjadi tuan rumah kepada Negeri Sembilan manakala aksi antara Kedah menentang Terengganu akan diadakan pada 29 April.
Separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Mei depan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan