Sabtu, 8 April 2017

Pahang letak keyakinan tinggi - Saingan Liga Super 2004


ARKIB : 05/01/2004

PEMAIN-PEMAIN menandatangani kontrak menyertai Pahang untuk kempen Liga Super musim 2004 dalam satu majlis di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam. - Gambar GHAZALI BASRI.

PAHANG mempunyai hajat besar untuk menjadi pasukan pertama menggondol kejuaraan bola sepak Liga Super 2004 yang bakal bermula pada Februari ini.

Hasrat itu disuarakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang juga Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang begitu optimis terhadap barisan pemain Tok Gajah yang rata-ratanya terdiri daripada pemain kebangsaan dan berpengalaman.

``Saya yakin pasukan Pahang akan dapat membawa pulang trofi Liga Super dan sudah tentu kita mengimpikan untuk muncul sebagai pasukan pertama menjuarai piala ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain-Pemain Liga Super Pahang 2004 di Kuantan, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden I PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail dan jurulatih baru pasukan Pahang, Zainal Abidin Hassan.

Seramai enam muka baru telah menandatangani kontrak dengan Pahang iaitu Indra Putra Mahyuddin, Abd. Ghani Malek, Azmin Azram Abd. Aziz, Irwan Fadzli Idrus dan dua pemain import dari Argentina, Spinelli Fernando Horacio serta Cominelli Lucas Ariel.

Pemain lain yang turut menandatangani kontrak ialah Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Mohd. Fadzly Saari, Azizul Kamaluddin, Subri Sulong, Shahril Faizal Sharifuddin, Shahrulnizam Sahat, Jalaluddin Jaafar, Shahrizan Salleh, Khairulnizam Hanif dan Iskandar Zulkarnain.

Tengku Abdul Rahman turut melahirkan keyakinan terhadap Zainal Abidin yang akan membimbing Pahang musim ini.

Mengulas mengenai barisan pemain Pahang yang rata-ratanya terdiri daripada pemain kebangsaan, beliau berkata, para pemain terbabit seharusnya menunjukkan prestasi yang baik dan lebih bersedia dari segi mental serta fizikal.

Begitu pun, Pahang akan kehilangan lapan atau sembilan pemain sekiranya mereka dipanggil menyarung jersi kebangsaan.

Pasukan Tok Gajah juga akan menerima dua orang lagi pemain import dari Argentina yang dijangka sampai hari ini bagi menyertai pemain-pemain lain untuk menghadapi cabaran Liga Super 2004.

Sementara itu, Tengku Abdul Rahman turut berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh Fernando dan Lucas yang telah pun memulakan latihan bersama pemain lain di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

``Macam Fernando, dia merupakan pemain yang baik di bahagian pertahanan manakala Lucas pula bijak menukar corak permainan dan berkebolehan untuk menghantar bola dari jauh.''

Dalam pada itu, Jamal Nasir turut melahirkan keyakinannya terhadap barisan baru pasukan Pahang.

``Saya merasakan pasukan ini merupakan yang terbaik pernah kita miliki di mana kita berjaya mengumpulkan pemain-pemain terbaik untuk mewakili Pahang,'' ujarnya.

Seorang lagi tunggak utama Pahang, Mohd. Juzaili Samion baru sahaja selesai menjalani pembedahan lututnya kelmarin dan dijangka akan mengambil masa beberapa bulan lagi untuk pulih sebelum kembali beraksi dengan pasukan Tok Gajah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djBf36xk
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan