Isnin, 24 April 2017

Perak ancam Pahang

ARKIB : 24/07/2004
PERAK merupakan satu-satunya pasukan yang mampu memintas Pahang selaku pendahulu apabila aksi pusingan ketiga Liga Super meneruskan saingannya malam ini.
Dengan hanya dipisahkan dua mata, Pahang yang kini memungut 35 mata bagaimanapun hanya perlu mencatat kemenangan ke atas Pulau Pinang di tempat lawan jika mahu kekal di puncak liga.
Sebaliknya kekalahan akan memberi ruang kepada Perak yang mesti menang apabila bertandang ke Sarawak jika pasukan bimbingan Tony Netto itu berhasrat merampas kedudukan itu.
Apa pun keputusannya, Perak dan Pahang adalah dua pasukan yang kini bersaing hebat untuk memburu gelaran juara pertama Liga Super 2004.
Keazaman Perak merampas kedudukan itu terserlah dengan usaha pengurusan pasukan itu memantapkan lagi barisan pertahanan.
Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, Perak akan menurunkan benteng pertahanan terkuat bagi mengekang kemaraan penyerang Sarawak.
Harapan itu diletakkan kepada gandingan pertahanan import, Luciano Goux bersama Syamsol Saad, Asmawi Bakiri dan Chan Wing Hoong.
``Kita tidak mahu kekalahan 2-4 kepada Sarawak di Kuching pada 14 Julai lalu berulang jika ingin memintas Pahang,'' katanya.
Netto pula berkata, Perak tidak boleh kalah lagi dalam lima perlawanan terakhir mereka selepas ini jika inginkan gelaran Liga Super dalam genggaman.
Pahang pula boleh diibaratkan menanti rebah jika tewas malam ini kepada Pulau Pinang atau `hanyut' dalam perlawanan seterusnya.
Bagaimanapun kejayaan menewaskan pasukan bimbingan Yunus Alif itu 4-1 di Stadium Bandaraya pada 14 Julai lalu membuktikan kenapa Pahang tidak mampu melakukannya sekali lagi di tempat yang sama.
Dalam pada itu, jangan dilupakan sama sekali satu lagi pasukan yang boleh mencabar kedudukan dua pasukan tersebut iaitu Public Bank Selangor yang kini hanya enam mata di belakang Pahang.
Cabaran Public Bank masih belum boleh diketepikan terutama selepas kejayaan mengikat Pahang 3-3, Rabu lalu.
Pasukan itu yang akan menentang Sabah di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka tidak menghadapi masalah merapatkan jurang perbezaan mata jika Perak dan Pahang mencatat keputusan seri.
Pertemuan dua pasukan berjiran, Perlis dan Kedah pula lebih dilihat kepada usaha kedua-dua pasukan bangkit semula dalam meneruskan persaingan.
Perlis yang tumpas 1-0 kepada Sabah, Rabu lalu pasti lega dengan kembalinya Phillemon Chipeta daripada penggantungan satu perlawanan.
Namun rekod kejayaan menewaskan Kedah 4-0 pada 14 Julai lalu tidak boleh melekakan Perlis terutama selepas Kedah mencatat kemenangan 3-2 ke atas Sarawak, Rabu lalu.
``Kita mendapat kembali khidmat Chipeta yang tidak bermain menentang Sabah dan kehadirannya diharap mampu membantu barisan serangan,'' kata pengurus pasukan, Adzmi Saad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan