Isnin, 24 April 2017

Bola Sepak Liga Super - Pahang berada di ambang juara

ARKIB : 29/07/2004
KEMENANGAN ke atas Sarawak kelmarin meletakkan Pahang dalam kedudukan selesa untuk merangkul gelaran juara pertama bola sepak Liga Super, musim ini.
Pasukan Tok Gajah itu hanya perlu menang perlawanan menentang Perlis di Stadium Utama Kangar, Sabtu ini untuk memenuhi impian mereka bergelar juara lebih awal musim ini, meskipun masih ada dua baki perlawanan selepas itu.
Kelmarin, Pahang menang 3-2 ke atas Sarawak yang membolehkan mereka mengumpul 41 mata daripada 18 perlawanan musim ini.
Kedudukan mereka begitu selesa apabila saingan terdekat, Perak hanya mengumpul 34 mata.
Berdasarkan perkiraan, jika Pahang menang Sabtu ini bermakna mereka sukar untuk diatasi oleh Perak, yang hanya mempunyai kemungkinan secara matematik mengumpul 43 mata maksimum jika memenangi kesemua tiga baki perlawanan sementara Pahang dengan 44 mata.
Selepas berkunjung ke Kangar, pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan itu akan menentang Kedah (3 Ogos) dan Sabah pada 7 Ogos di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Jika ditakdirkan Pahang gagal meraih mata penuh di Kangar, mereka masih boleh bergelar juara dengan memenangi satu daripada dua perlawanan terakhir itu.
Yang lebih manis, ia mungkin berlaku di Stadium Darul Makmur, yang sehingga kini menyaksikan Pahang kekal tanpa kalah dalam aksi di tempat sendiri apabila mereka menyambut kedatangan Kedah pada 3 Ogos.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah ketika ditemui semalam begitu yakin dengan keupayaan skuad Pahang untuk mengecapi impian juara.
Beliau turut menyifatkan keupayaan bangkit dari ambang kekalahan selepas ketinggalan 0-2 kepada Sarawak untuk menang 3-2, membuktikan pemain-pemain Pahang kini semakin matang untuk memburu kejuaraan.
Bagaimanapun beliau berharap pemain Pahang tidak memandang mudah bagi tiga lagi baki perlawanan selepas ini.
``Pahang tidak boleh memikirkan juara sudah berada dalam tangan sebaliknya perlu terus berusaha memburu kemenangan kerana kealpaan boleh mengundang padah,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan