Sabtu, 29 April 2017

Pahang belum tentukan pemain

ARKIB : 25/10/2004
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) masih belum memutuskan sebarang kedudukan para pemainnya yang bakal beraksi pada musim depan memandangkan tumpuan mereka kini kepada persaingan separuh akhir Piala Malaysia yang akan bermula pada November ini.
Timbalan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, buat masa ini, PBNP perlu memberi perhatian serius kepada persaingan Piala Malaysia di mana skuad Tok Gajah telah dijadualkan bertemu dengan pasukan Perlis.
``Berhubung pemain baru atau pengguguran pemain bagi mengharungi Liga Malaysia khususnya Liga Super 2005 hanya akan diputuskan apabila saingan Piala Malaysia telah berakhir,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Pahang membenam Kelab India Pahang dengan keputusan 6-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.
Tengku Abdul Rahman memberitahu, setakat ini, beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung kedudukan para pemain Pahang kerana masanya tidak sesuai untuk hal itu diperbincangkan.
Katanya lagi, jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan akan diberi tanggungjawab untuk membuat pemilihan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.
``Setakat ini, masih terlalu awal untuk saya memberi sebarang keputusan mengenai hal tersebut kerana para pemain perlu menumpukan perhatian kepada perlawanan menentang Perlis,'' tegasnya.
Mengulas mengenai persiapan Pahang untuk menghadapi persaingan separuh akhir, jelas beliau, buat masa ini, perancangan yang telah dilakukan oleh Zainal sebagai jurulatih telah berjalan dengan lancar dan sempurna.
Beliau berkata, bagi memastikan kecergasan dan persefahaman yang dibentuk oleh barisan pemain Tok Gajah berada di tahap terbaik, Pahang akan mengadakan perlawanan persahabatan pada setiap hari Sabtu sepanjang bulan ramadan ini.
``Perlawanan persahabatan ini amat penting bagi menguji dan mengenal pasti segala kelemahan dalam pasukan sebagai persiapan untuk menentang Perlis,'' ujarnya.
Tengku Abdul Rahman berharap pemain-pemain Pahang akan dapat menunjukkan komitmen yang tinggi kepada pasukan walaupun dalam perlawanan persahabatan itu mereka hanya bertemu dengan pasukan yang berstatus kelab tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan