Kemenangan Pahang bermakna pasukan itu di jadual menentang Negeri Sembilan dalam aksi separuh akhir pertama Jumaat ini manakala timbal balik 12 Mei 2017.
Negeri Sembilan muncul pasukan paling awal menempah slot ke separuh akhir selepas menewaskan Sabah dengan agregat 1-0, Jumaat lalu.
Pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menyaksikan Pahang yang meraih bekalan selesa 3-1 pada aksi suku akhir pertama 1 April lalu seakan sukar memulakan perlawanan dengan baik di depan penyokong lawan.
Malah jaringan awal minit keenam oleh pemain import JDT dari Argantina, Gonzalo Cabrera hasil hantaran daripada Safiq Rahim telah membuatkan skuad Tok Gajah mula tersentak.
Tekanan mula dirasai Pahang apabila corak permainan pantas dipamerkan oleh JDT membolehkan skuad Harimau Selatan menambah gol kedua menerusi rembatan kencang Gabriel Guerra sewaktu minit ke-22 hasil lorongan kemas daripada Azrif Nasrulhaq untuk kedudukan 2-0 sekali gus dapat menyamakan agregat 3-3 pada separuh masa pertama.
Babak kedua perlawanan menyaksikan JDT tidak berdepan masalah untuk mempertahankan kedudukan jaringan sebelum tandukan Mohamadou Sumareh menghancurkan impian tuan rumah untuk melangkah ke separuh akhir sewaktu minit ke-86.
Dalam satu lagi separuh akhir selepas ini menyaksikan Kedah akan menentang Terengganu selepas kedua-dua pasukan berjaya melepasi saingan suku akhir kedua Jumaat lalu.
Kedah melangkah ke saingan separuh akhir selepas menang dengan agregat 6-2 menentang Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) manakala Terengganu terpaksa bekerja keras bagi menewaskan Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas masing-masing terikat agregat 2-2