Ahad, 30 April 2017

Pahang terkulai di Kangar

ARKIB : 24/11/2004
PENYERANG Perlis, Phillimon Chipeta (jersi no. 10) dipeluk oleh rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama pasukannya ke atas Pahang dalam perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Utama Negeri, Kangar semalam. - Gambar Ismail Kamadin.


PERLIS yang cuba melakar sejarah untuk mendakap gelaran Piala Malaysia buat pertama kali membuka langkah awal dengan cemerlang apabila mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Pahang dalam saingan separuh akhir pertama di Stadium Utama semalam.
Dua gol jaringan menerusi sentuhan penyerang import, Phillemon Chipeta pada minit kesembilan dan Joao Bandoch minit ke-73 sudah cukup memastikan bekalan selesa Perlis apabila berkunjung ke Stadium Darulmakmur untuk saingan kedua separuh akhir Sabtu ini.
Jaringan tersebut pastinya menceriakan jurulatih Norizan Bakar dalam usahanya untuk memastikan Perlis tidak kecewa buat kali ketiga mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 4 Disember ini.
Stadium Utama yang dipenuhi kira-kira 20,000 penyokong tuan rumah berteriak gembira sejurus Chipeta meledakkan jaringan pertama seawal minit kesembilan.
Gegak gempita di stadium tersebut bergema lagi apabila Bandoch menjaringkan gol kedua Perlis yang disifatkan bekalan cukup selesa apabila bertandang ke Pahang Sabtu ini.
Jelas, Perlis menguasai pentas saingan sejurus wisel bermula dengan asakan bertali arus yang sering mencemaskan pertahanan Pahang.
Hasilnya tuan rumah lantas merobek kekebalan benteng Pahang apabila gol pertama Perlis muncul seawal minit kesembilan apabila Chipeta mendapat hantaran cantik daripada Mohd. Lamin Conteh Junior meledakkan jaringan menewaskan penjaga gol pelawat, Azmin Azram Aziz.
Gol itu ternyata mengejutkan pahang yang bangkit mengasak untuk mencari gol penyamaan namun dua sepakan percuma yang diambil oleh Jonathan Baff dan Saimon Conosimo di dakap kemas oleh Amran Omar.
Peluang terbaik skuad Tok Gajah hadir pada minit ke-22 apabila rembatan kencang Anthony Josip Milicic yang hanya berdepan dengan Amran berjaya ditepis keluar.
Pasukan tuan rumah juga mampu menambah jaringan pada minit ke-20 apabila Yusri Che Lah yang merembat dari sudut kanan pintu gol lawan melihat bola melintasi di depan gol Pahang ketika Azmin sudah tertewas.
Kira-kira 20,000 penonton yang memenuhi setiap ruang di stadium ceria seketika apabila tandukan Chipeta pada minit ke-35 menerjah pintu gol tetapi dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana berada pada posisi off said.
Pada minit ke-73 gol kedua Perlis menyusul apabila Bandoch yang mendapat hantaran cantik daripada Chipeta melakukan sepakan lambung yang gagal dicapai oleh Azmin Azram.
Gol tersebut terus melenyapkan kegarangan skuad Tok Gajah yang cuba bangkit merapatkan kedudukan tetapi tidak berhasil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan