Ahad, 23 April 2017

Perak, Pahang ke separuh akhir

ARKIB : 01/07/2004
PERAK meranapkan juara bertahan, Negeri Sembilan dengan kemenangan besar 6-0 pada aksi suku akhir kedua bola sepak Piala FA di Stadium Perak, Ipoh semalam untuk skuad Seladang melangkah ke separuh akhir dengan agregat 8-3.
Negeri Sembilan menang 3-2 pada perlawanan suku akhir pertama 16 Jun lalu.
Pemain import Perak dari Liberia, Frank Seator menjaringkan dua gol pada minit ke-30 dan 43 manakala satu gol masing-masing dijaringkan oleh Khalid Jamlus (55), Richardo Adrian (64) dan Nor Affandi Mohd. Yatim (90) serta gol sendiri pemain Negeri Sembilan, Mohd. Rahman Zabul (42).
Pahang turut mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 7-4 selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan memihak kepada pasukan tuan rumah yang menang 5-3.
Skuad Tok Gajah menang 2-1 pada suku akhir pertama di Pasir Gudang, 16 Jun lalu.
Mamadou Diallo menjaringkan hatrik untuk Pahang pada minit keenam, 41 dan 67 manakala dua pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar masing-masing menyumbang satu gol pada minit ke-23 dan 56.
Gol Johor FC pula dijaringkan oleh Silver Walter (36, 77) dan gol sendiri pemain Pahang, Shahrul Nizam Sahat (74).
PKNS Selangor mengiringi Perak dan Pahang ke separuh akhir dengan kemenangan 4-0 ke atas Tentera di Stadium TLDM, Lumut, untuk mara dengan agregat 5-1.
Bekas pemain kebangsaan, Rusdi Suparman membuka jaringan pada minit ke-44 sebelum PKNS menggandakan jaringan menerusi gol sendiri pemain Tentera, Justinus Mian (65) diikuti gol jaringan Marcel Palic (68) dan Ludovic Bekamy (83).
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada suku akhir pertama.
Terengganu mengisi slot terakhir ke separuh akhir selepas menang agregat 5-4 dalam aksi sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 4-4 apabila Sabah mendahului 2-0 setelah tamat tempoh 90 minit permainan sebenar.
Keith Gumbs membuka jaringan pada minit ke-31 dan Josiah Seton menyamakan kedudukan agregat pada minit terakhir perlawanan untuk memaksa masa tambahan.
Namun, pemain import Terengganu, Chanda Bwalya menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan minit ke-99 untuk skuad Penyu ke separuh akhir.
Undian separuh akhir akan dibuat di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan