Sabtu, 1 April 2017

Pahang ratah JDT di Kuantan



Oleh GHAZALI ALIAS
 
PEMAIN Pahang, Ahmad Yahya (dua, kiri) berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Mohd. Izham Tarmizi Roslan untuk gol pertama Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur malam tadi. Pahang mengalahkan JDT 3-1.

PASUKAN Pahang tidak mensia-siakan peluang bermain di laman sendiri apabila mudah mematahkan cabaran pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan memenangi perlawanan 3-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Beraksi di hadapan kira-kira 36,000 penyokong kedua-dua pasukan, skuad Tok Gajah terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya yang menanduk bola hasil hantaran kapten pasukan, Matthew Thomas Davies pada minit ke-13.

Bagaimanapun, JDT berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi rembatan kencang pemain pertahanan, Marcos Antonio Elias Santos yang menewaskan penjaga gawang Pahang, Wan Muhamad Azraie Wan Teh dan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Pahang tidak menunggu lama untuk menceriakan penyokong tuan rumah apabila menyumbat gol kedua menerusi penyerangnya, Matheus Alves Leandro pada minit ke-48 sebelum pemain gantian skuad Tok Gajah, Chinedu Bright Ezendu Dike menambah derita JDT dengan gol ketiga pada minit ke-61.

Perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Pahang dan JDT akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 23 April ini

sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4d3iKgJ8T
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan