Ahad, 9 April 2017

Pahang sedia gempur Liga Super



ARKIB : 14/01/2004
Oleh ALI MAHMOOD

SKUAD bola sepak Pahang kini sudah bersedia untuk mengharungi pertandingan Liga Super, iaitu liga format baru yang diperkenalkan tahun ini dan berharap menjadi pasukan pertama menjulang piala tersebut.

Naib Presiden Bola Sepak Pahang (PBNP), Datuk Jamal Nasir berkata, skuad `Tok Gajah' kini sudah lapan puluh peratus bersedia untuk mengharungi pertandingan Liga Super.

Berdasarkan latihan yang dijalankan selama ini, pasukan itu yang dibarisi 19 pemain termasuk mendapat suntikan dua pemain Argentina - yakin mereka mampu menyajikan permainan yang mantap dan menghiburkan.

Kedua-dua pemain Argentina itu ialah Spinelli Fernando Horacio dan Cominelli Lucas Ariel.

Fernando beraksi di posisi serangan yang digandingkan dengan Indra Putra Mahyuddin dan Lucas bermain di bahagian pertahanan.

``Semua pemain sudah bersedia dan tidak sabar lagi untuk beraksi dalam perlawanan sulung mereka menentang mana-mana pasukan yang diundi dalam Liga super nanti,'' ujar Jamal yang ditemui semasa menyaksikan skuad itu menjalani latihan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kuantan.

Menurut Jamal hanya terdapat sedikit kelemahan sahaja yang perlu diatasi terutamanya meningkatkan gandingan mantap serta mempertajamkan lagi serangan serta teknik menjaringkan gol.

Bagaimanapun dalam tempoh sebulan lebih lagi sebelum bermulanya Liga Super, beliau yakin jurulatih pasukan itu Zainal Abidin Hassan mampu menyediakan sebuah pasukan yang mantap daripada semua posisi.

Yang paling menggembirakan Jamal dan Zainal ialah kefahaman gandingan bekas penyerang sensasi Perak, Indra Putra Mahyuddin dengan Fernando Horacio.

Bagi Jamal gandingan Indra dan Fernando mampu menggugat pasukan lawan dan beliau yakin kedua-dua pemain itu boleh menjaringkan jumlah gol yang lebih besar dalam setiap perlawanan.

Sementara itu menurut Zainal, Indra dan Fernando bukan sahaja merupakan gandingan yang serasi tetapi mereka berdua boleh digandingkan dengan mana-mana penyerang lain seperti Hairuddin Omar dan Rosdi Talib.

``Kalau salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan kami tidak menghadapi masalah untuk mencari pengganti, malah ramai yang boleh bermain dalam pelbagai posisi,'' ujar Zainal.

Zainal kini sedang menunggu kehadiran dua lagi pemain Argentina untuk diuji bagi melengkapkan pasukan itu dengan kuota empat pemain import yang dibenarkan dalam setiap pasukan Liga Super.

Kedua-dua pemain itu dijangka tiba di Kuantan pada hari ini dan jika mereka mampu mempamerkan permainan dan kemahiran seperti yang dikehendaki oleh skuad Tok Gajah, Zainal dan Jamal tidak lagi gusar untuk mencari pemain import lain.

Setakat ini skuad Tok Gajah tidak menghadapi masalah kecederaan kecuali seorang pemain Mohd. Juzaili Samion yang cedera di pergelangan lutut kanan tetapi Zainal yakin pemain itu akan pulih segera.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4dkjPJYSQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan