Ketua pasukan Pahang, Matthew Davies berkata, bukan sahaja Sumareh malah pemain Tok Gajah juga kecewa penyerang dari Gambia itu digantung perlawanan dan tidak dapat bermain pada separuh akhir pertama Piala FA.
“Sudah tentu kami kecewa tetapi saya percaya Pahang mempunyai ramai pemain berkualiti yang boleh menggantikan tempat Sumareh.
“Kami sudah tentu akan memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri dan mendapatkan bekalan selesa untuk perlawanan separuh akhir kedua di gelanggang lawan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Baljit Singh Sidhu mengeluarkan kenyataan berhubung penggantungan satu perlawanan serta denda RM3,000 ke atas Sumareh bagi aksi menentang Negeri Sembilan dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA.
Hukuman itu dikenakan ke atas penyerang dari Gambia itu kerana dikatakan mengasari pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Afif Fazail pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Larkin.
Sementara itu, pemain tengah, Ahmad Syamim Yahya berkata, dia yakin rakan sepasukannya yang lain mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Sumareh.
“Saya percaya dengan kemampuan rakan sepasukan lain termasuk dengan kehadiran Nurridzuan Abu Hassan dan Christie Jayaseelan yang sudah boleh beraksi selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Cuma saya harapkan mereka cepat dapat menyesuaikan diri untuk perlawanan ini kerana lawan pastinya akan memberikan tentangan sengit kepada Pahang,” katanya.
Seorang lagi tonggak Tok Gajah, Nor Azam Azih juga menaruh keyakinan bahawa pasukan bimbingan jurulatih, Dollah Salleh itu mampu beraksi dengan baik walaupun ketiadaan Sumareh.
“Tidak dinafikan Sumareh adalah pemain yang pantas dan boleh mengucar-kacirkan pertahanan lawan, namun saya percaya pemain Tok Gajah lain juga boleh berbuat demikian dan menggantikan tempatnya,” ujarnya.