Isnin, 24 April 2017

Perak menang besar, Pahang hilang dua mata

ARKIB : 21/07/2004
PERAK mencipta kemenangan besar ketika pendahulu, Pahang terpaksa berkongsi mata dengan Public Bank di gelanggang sendiri sekali gus menjadikan jurang mata mereka dengan skuad Seladang semakin tipis.
Perak menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di Stadium Perak, Ipoh untuk mencipta kemenangan 4-1 ke atas Pulau Pinang dengan menghasilkan dua gol pada setiap babak.
Ricardo Silva meletakkan Perak di depan seawal minit ketiga diikuti oleh jaringan penyerang berbisa, Frank Seator (minit 16), Ahmad Shahrul Azhar Sufian (49) dan Harizul Izuan Abd. Rani (87).
Di kala pencabar terdekatnya menang selesa, Pahang gagal mengekalkan rentak selepas dua kali mendahului untuk hanya seri 3-3 dengan Public Bank di Stadium Darulmakmur, Kuantan.
Selepas Aiman Wong meletakkan Public Bank di depan seawal minit kedua, tuan rumah mendahului menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin (8) dan Mamadou Diallo (11).
Ivan Ziga menyamakan kedudukan buat skuad pelawat pada minit ke-30 tetapi Indra Putra sekali lagi meletakkan Pahang di depan pada minit ke-61 hanya untuk menyaksikan Nor Nazri Mohd. Nor menjaringkan gol ketiga Public Bank pada minit ke-77.
Keputusan itu sekali gus menyebabkan Pahang yang telah mengumpul 35 mata selepas 16 perlawanan kini hanya dipisahkan dengan dua mata di depan Perak.
Public Bank pula di tangga ketiga dengan 29 mata.
Sabah pula mengecewakan harapan Perlis untuk mendekatkan diri dengan tiga pasukan teratas itu apabila menundukkan Singa Utara 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Jaringan Keith Gumbs pada minit ke-22 turut membantu Sabah melonjak satu anak tangga ke tangga kelima dengan 16 mata, mengatasi Pulau Pinang 15 mata sekali gus menjadikan Perlis kini ketinggalan 11 mata di belakang Pahang.
Penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli pula menemui menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan di tangga tercorot, Kedah menundukkan Sarawak 3-2 di Stadium Darulaman, Alor Star.
Marcos Magna Morales menjaringkan gol pertama Kedah pada minit ke-19 dan Akmal menambah yang kedua pada minit ke-56 tetapi Sarawak bangkit menyamakan kedudukan menerusi Rodrigo Anderson (80) dan Robert Eshun (84).
Ketika pelawat menyangka mereka mampu membawa pulang satu mata, Akmal menolak masuk gol kemenangan ketiga Kedah selepas 16 perlawanan ketika permainan berbaki empat minit.
Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Kedah di tangga kelapan dengan 11 mata, satu mata di belakang Sarawak yang berada di tempat ketujuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan