Isnin, 24 April 2017

Pahang masih kepedihan

ARKIB : 06/07/2004
KEKALAHAN pasukan bola sepak Liga Super Pahang di tangan Perak 2-3 cukup pedih untuk ditelan oleh kesebelasan pemain bimbingan bekas penyerang kebangsaan, Zainal Abidin Hassan.
Gol yang dijaringkan oleh penyerang import Perak dari Liberia, Frank Seator di saat-saat akhir permainan mengejutkan para peminat Tok Gajah kerana sebelum ini pasukan itu kelihatan cukup sukar untuk ditewaskan.
Namun kejayaan anak-anak buah Tony Netto memecah rekod tanpa kalah kesebelasan pemain Tok Gajah telah membuat para pemain Zainal Abidin dan pengurus pasukan, Datuk Shahiruddin Moin berazam untuk menebus kesilapan itu dalam perlawanan akan datang.
``Sebenarnya pasukan Perak dan Pahang mempunyai kualiti pemain dan kemahiran yang hampir sama, walaupun kita merasa terkilan dengan kekalahan itu tetapi kedua-dua pasukan itu telah mempamerkan permainan yang baik.
``Kita terima kekalahan ini dengan perasaan terbuka, itu adalah adat permainan dan seperti kata pepatah `bola itu bulat' tetapi yang agak terkilan kerana Perak berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Pahang,'' ujar Shahiruddin kepada pemberita di Kuantan semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihati para pemain supaya menjadikan kekalahan itu sebagai iktibar dan membakar semangat dan sebaliknya mereka tidak harus merasa malu kerana kalah kepada pasukan yang setanding dengan Tok Gajah.
Bagaimanapun beliau meminta para penyokong Tok Gajah supaya bersabar dan terus memberikan sokongan kerana Pahang bermain dengan 10 pemain dalam tempoh 53 minit.
Namun katanya, pemain-pemain Pahang dan jurulatih berjanji untuk bangkit semula dan menebus kesilapan itu dalam perlawanan berikutnya yang akan datang bagi memastikan Pahang terus bertakhta dalam Liga Super.
Menurut beliau, hampir semua pemain menitis air mata dengan kekalahan itu tetapi menurutnya mereka sebenarnya telah berjuang habis-habisan dengan memerah segala tenaga dan sedaya upaya tetapi Perak lebih bernasib baik.
Shahiruddin yakin anak-anak buah Zainal Abidin Hassan akan bekerja keras dan menjalani latihan yang lebih gigih bagi meneruskan perjuangan supaya tidak ada pasukan dalam Liga Super memintas Tok Gajah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan