Rabu, 26 April 2017

Sumareh ranap impian JDT

AHAD, 23 APRIL 2017 @ 11:40 PM
Oleh Rizar Mohd Noor rizar@bh.com.my
 
PEMAIN Pahang, Sumareh Mohamadou (kanan) meraikan jaringan gol pertama pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2017, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Hajat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA musnah selepas sekadar menewaskan Pahang 2-1 pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, sebentar tadi.

 Kemenangan tipis itu menyaksikan anak buah Benjamin Mora terpaksa akur tewas 3-4 secara agregat sekali gus membolehkan Pahang mara ke separuh akhir menentang Negeri Sembilan.

Apapun, Mohamadou Sumareh menjadi wira buat skuad Tok Gajah selepas menjaring gol penting pada hujung perlawanan sekali gus meranapkan impian Harimau Selatan. Tuan rumah yang menguasai perlawanan sebaik babak pertama bermula tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan pada minit kelima selepas bola umpanan Safiq Rahim tepat kepada Gonzalo Cabrera yang bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Wan Muhd Azraie Wan Teh untuk merapat jurang agregat 2-3.

Tersentak dengan gol awal itu anak didik Dollah Salleh kembali menyusun strategi untuk mencari gol penyamaan namun bola tandukan Heo Jae-won pada minit ke-10 berpunca daripada sepakan sudut Mohd Syamim Yahya ditepis penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Gabriel Guerra nyaris menambah jaringan buat tuan rumah pada minit ke-18 selepas bertindak menggelecek dua pertahanan skuad Tok Gajah namun bola rembatan deras memaksa Wan Muhd Azraie merebahkan badan untuk menampan bol. Usaha berterusan tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-22 selepas bola lorongan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham tepat kepada Guerra yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum merembat bola leret menewaskan Wan Muhd Azraie untuk meletak skuad Harimau Selatan 2-0 dan berada di landasan layak ke separuh akhir menerusi agregat 3-3 tatkala memiliki kelebihan jaringan gol di tempat lawan.

Sepakan lencong Guerra di luar kotak penalti pada minit ke-26 hampir memerangkap Wan Muhd Azraie yang tampak sudah tertewas namun bola sekadar sipi di sebelah kiri pintu gol memberi kelegaan buat skuad Tok Gajah daripada dibolosi kali ketiga.

Sepanjang 20 minit babak kedua, tuan rumah yang tampak begitu selesa dengan kedudukan 2-0 mula beraksi dengan corak permainan berhati-hati dan kerap menutup ruang pelawat daripada bertindak melakukan percubaan berbahaya.

Namun ketika aksi berbaki empat minit, pelawat bangkit mencipta gol hasil sepakan lambung pemain gantian Muhd Nurridzuan Abu Hassan tepat kepada Mahamadou Sumareh yang menanduk bola menewaskan Izham Tarmizi untuk memastikan Pahang mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-3.


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/275072

Tiada ulasan:

Catat Ulasan