Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, beliau mengakui berang selepas dimaklumkan berhubung penggantungan pe­nyerang importnya itu.
“Apabila dapat tahu, saya terperanjat. Saya masih tidak faham dengan jelas, kenapa Sumareh digantung dan kalau dilihat semula video (rakaman), memang jelas Sumareh tidak pukul sesiapa, sebaliknya dia yang dipukul.
“Ini sudah macam cerita dongeng (tidak masuk akal), orang yang tidak bersalah pula yang kena hukum,” katanya selepas perlawanan Liga Super Pahang menentang Felda United di Stadium Darul Makmur di sini malam semalam.
Selepas berjaya menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi agregat 4-3 pada suku akhir kedua Piala FA di Larkin baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu mengeluarkan kenyataan berhubung penggantungan satu perlawanan serta denda RM3,000 ke atas Sumareh bagi aksi menentang Negeri Sembilan dalam saingan separuh ak­hir pertama Piala FA.
Hukuman tersebut dikenakan ke atas penyerang dari Gambia itu kerana dikatakan mengasari pemain JDT, Afif Fazail berselang seminit selepas Sumareh mencetak gol kelayakan agregat Pahang pada minit ke-86.
Mengulas lanjut, Dollah berkata, keputusan penggantungan Sumareh juga mengelirukan kerana penyerang itu tidak melakukan sebarang kesalahan serta tidak dilayangkan sebarang kad.
“Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tidak perlu meminta sebarang penjelasan, kerana kami masih tidak menerima sebarang surat penjelasan berhubung hukuman itu daripada FAM.
“Saya bimbang kalau surat penggantungan dikeluarkan pada hari perlawanan. Kalau itu berlaku, ia sudah macam satu penganiayaan kepada pemain. Itu undang-undang diktator,” tegasnya.
Sementara itu, Sumareh ketika ditemui turut mengakui masih bingung berhubung punca sebenar dikenakan hukuman sedemikian meskipun sudah berkali-kali menyaksikan semula rakaman insiden berkenaan.
“Kalau jurulatih terkejut, sudah tentu saya lebih terkejut. Tolong beritahu saya mengenai apa sebenarnya kesalahan saya. Begitu jelas saya tidak menolak (mengasari) sesiapa, semua ini sungguh tidak masuk akal.
“Saya benar-benar tidak senang hati dengan keputusan itu kerana dihukum atas kesalahan yang tidak saya lakukan. Saya minta tolong berilah penjelasan kepada saya,” ujarnya.