Sabtu, 8 April 2017

Pahang pintas Kedah terajui Liga Super



GHADDAR (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Pahang pada aksi Liga Super yang menyaksikan skuad Tok Gajah menang 2-1 di Kota Bharu malam tadi.

PAHANG memintas Kedah untuk menerajui Liga Super selepas berjaya menjinakkan Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kejayaan itu diraih apabila skuad Helang Merah sekadar seri 1-1 dengan kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Biarpun berkongsi 19 mata, namun skuad Tok Gajah layak meneraju liga menerusi perbezaan jaringan dengan 24 gol, manakala Helang Merah 19 jaringan.

Pada aksi malam tadi, pasukan bimbingan Dollah Salleh itu ketinggalan pada minit ke-16 hasil jaringan penyerang import tuan rumah, Mohammed Ghaddar.

Bagaimanapun, pasukan pelawat tampil garang pada babak kedua menerusi dua gol pantas hasil jaringan Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke-60 sebelum penggempur sensasi, Matheus Alves menambah derita tuan rumah pada minit ke-61.

Kedah pula gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila diikat PKNS FC menerusi jaringan Lucas Sebastian Espindola pada minit ke-28 dan penyerang import Kedah, Zachary Michael Anderson menyelamatkan maruah skuad Helang Merah apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula, Selangor tidak menghadapi masalah untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Sarawak.

Gol kemenangan skuad Gergasi Merah dijaringkan oleh penyerang import, Victor Astafei pada minit ke-22 sebelum Forkey Doe menghasilkan gol kedua pada minit ke-49, manakala gol skuad Ngap Sayot pula dihasilkan menerusi Mateo Roskam pada minit ke-82

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4diwzPjnu
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan