Selasa, 25 April 2017

Laluan selesa untuk Pahang

ARKIB : 16/08/2004
MPPJ Selangor berdepan tugas sukar untuk mempertahankan Piala Malaysia ketika juara Liga Super, Pahang kelihatan menerima laluan mudah pada pusingan awal yang akan bermula pada 25 Ogos ini selepas undian peringkat kumpulan dilakukan semalam.
Dalam undian yang dikendalikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Hotel Mutiara, Kuala Lumpur, Pahang diletakkan dalam Kumpulan A.
Mereka akan bertemu PKNS Selangor pada perlawanan pertama. Dua lagi pencabar mereka ialah Kedah dan MK Land.
MPPJ diundi dalam kumpulan yang boleh dianggap paling sukar bersama-sama Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang, pasukan pertama yang akan mereka layan.
Pahang bagaimanapun tidak melihat kedudukan mereka dalam Kumpulan A sebagai mudah sekalipun dua pencabarnya, PKNS dan MK Land adalah peserta baru dalam pertandingan Piala Malaysia.
``Liga Super sudah menjadi sejarah,'' kata jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan. ``Piala Malaysia ialah satu pertandingan yang baru, jadi saya menganggap tiada pasukan yang patut berasa mereka adalah favourite.''
Pengurus MPPJ, Redzuan Sintol pula tetap yakin pasukannya mampu pergi jauh ``tetapi lebih sukar mempertahankan kejuaraan daripada mahu memenanginya.''
``MPPJ telah membuka satu lembaran baru dalam bola sepak Malaysia, jadi pertemuan dengan mereka pasti menarik,'' kata pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi.
Juara terbanyak Piala Malaysia sebanyak 29 kali, Selangor pula berharap pertandingan Piala Malaysia ini akan menjadi batu loncatan untuk mereka mengembalikan martabat seperti yang pernah mereka kecapi sebelum ini.
Pasukan di tangga ketiga Liga Super, Perlis pula menerajui persaingan dalam Kumpulan D dan akan berdepan dengan juara Kumpulan A Liga Perdana 2004, Telekom Melaka, Sabah dan Johor FC.
Sementara itu, Indra Putra Mahayuddin menerima anugerah kasut emasnya selepas majlis undian. Penyerang Pahang dan kebangsaan itu menjaringkan 15 gol dalam 21 perlawanan Liga Super.
Penyerang Selangor, Brian Fuentes dari Argentina pula menjaringkan 24 gol sepanjang 24 perlawanan dalam Liga Perdana untuk menerima anugerah kasut emas Liga Perdana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan