Sabtu, 22 April 2017

Pahang rampas tangga teratas

 
PEMAIN Perak, Ricardo Andrian (kiri) membentes Muhamad Hardi Ahmad dari Public Bank Selangor dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, semalam. Perak menang 2-0. - Gambar HANAFI KHAMIS.
PAHANG merampas kedudukan tangga teratas bola sepak Liga Super apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.
Jaringan tunggal Azizul Kamaluddin pada minit ke-63 sudah cukup untuk menceriakan Pahang yang mengumpul 18 mata manakala pendahulu takhta sebelum ini Public Bank Selangor tewas 2-0 kepada Perak.
Di Stadium Perak, Public Bank terpaksa turun di tangga kedua selepas dikecewakan jaringan pemain import Perak dari Liberia, Frank Seator pada minit ke-69 dan Khalid Jamlus pada minit ke-88. Public Bank kekal dengan 16 mata.
Di Stadium Darulaman, Alor Star, pasukan di tangga tercorot, Kedah menamatkan badi kekalahan apabila mencatat kemenangan pertama selepas enam perlawanan apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0.
Marcos Magno memastikan tuan rumah di depan pada minit ke sepuluh hasil gerakan yang diatur penyerang berbisa, Akmal Rizal Rakhli.
Kedah bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga minit ke-85 untuk menyaksikan gol kedua menerusi V. Thirumurugan, juga melalui gerakan Akmal Rizal.
Di Stadium Utama, Kangar pula, Perlis berpesta gol apabila menumpaskan Sarawak 4-0.
Adrian Jurad Chamrong memulakan pesta gol tuan rumah pada minit ke-29.
Yusri Che Lah kemudiannya meledak gol kedua pada minit ke 73 disusuli Zainuddin Ariffin pada minit 78.
Yusri melengkapkan malam gemilang Perlis dengan menjaringkan gol kedua peribadi an keempat Perlis pada minit 89.
Sementara itu, dalam perlawanan Liga Perdana, Johor menumpaskan pelawat, Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Larkin, semalam.
Tuan rumah memperoleh gol menerusi Rajesh Lechumanan (minit 22), Mohd Farid Ideris (minit 55) dan Daniel John Watkins (minit 90)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan