Selasa, 25 April 2017

Sejarah tercipta buat Pahang

ARKIB : 09/08/2004

Skuad bola sepak Pahang mencipta sejarah yang tersendiri apabila menjadi pasukan pertama menjuarai Liga Super yang mula diperkenalkan tahun ini.
Kejayaan itu meletakan Pahang atau lebih dikenali sebagai skuad Tok Gajah satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah digelanggang sendiri dan menjadi pasukan yang cukup dihormati dan dicemburui oleh pasukan lawan.
Namun bagi jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan perjalanan skuad didikannya itu masih jauh, mereka kini sedang bersiap sedia untuk mengharungi kempen Piala Malaysia dan Piala FA.
``Kejayaan ini adalah satu sejarah yang cukup bermakna tetapi saya ingin mengingatkan para pemain supaya mereka melupakan sejarah kejayaan menjuarai Liga Super.
Saya berharap mereka tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan tersebut kerana perjalanan untuk meletakkan Pahang sebagai skuad elit masih jauh dan mereka boleh dikategorikan benar-benar pemain elit dan berada dalam kelas tersendiri jika mereka mampu menjulang Piala Malaysia dan FA,'' ujar Zainal kepada pemberita mengulas kejayaan kesebelasan pemain Pahang menjuarai carta Liga Super.
Daripada 21 perlawanan Tok Gajah hanya tewas dua kali sahaja di gelanggang lawan iaitu tewas pasukan Perak dan Perlis.
Bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap dan berkualiti Zainal yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan sentiasa menanamkan sikap tidak muda berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai oleh anak buahnya.
Sebab itu pemain import Pahang sentiasa bersilih ganti kerana beliau tidak mudah berpuas hati dan sentiasa ingin mencuba dalam usaha untuk mencari pemain import yang terbaik.
Hampir 10 pemain import yang menawar diri untuk menganggotai kesebelasan skuad Tok Gajah bermula dengan dua pemain Argentina iaitu Huracio Hernando dan Lucas Ariel Commennelli dan selepas itu muncul pelbagai nama lagi antaranya ialah Mamado Dialo (Nigeria), Jonathan Bass (England), tiga pemain dari Australia Anthony Milicic, James Methew Bingley dan Simon Collosimo.
Namun sehingga berakhirnya kempen Liga Super hanya Jonathan Bass dan Anthony Milicic sahaja yang terus kekal mendapat kepercayaan Zainal.
Sementara itu Mamado Dialo, pemain yang pernah beraksi dalam liga Eropah dan Amerika Syarikat pernah ditolak Zainal semasa pemain itu menawarkan diri sebelum bermulanya Liga Super kerana tidak berpuas hati dengan prestasi pemain dari Nigeria itu.
Namun kecederaan teruk yang menimpa ayam tambatan Pahang, Fernando Huracio memaksa Zainal memanggil semula Mamado apabila khidmat Huracio ditamatkan.
Selepas itu seorang lagi pemain Argentina, Lucas Ariel Commennelli di singkirkan kerana prestasinya yang semakin menurun.
Manakala pemain dari Australia, James Methew Bingley hanya sempat bermain dua perlawanan sahaja sebelum digantikan oleh Simon Collosimo dan khabar terbaru Zainal ingin mencuba seorang lagi pemain import dari Brazil dan jika berpuas hati dengan prestasinya kemungkinan Jonathan Bass ataupun Simon Collosimo akan tersingkir.
``Saya ingin mengingatkan kesebelasan pemain Pahang supaya bersedia untuk mengharungi Piala Malaysia dan mereka perlu ingat setiap pasukan yang bercita-cita tinggi untuk menewaskan kami.
``Sebab itu saya berharap mereka (pemain) tidak perlu memikirkan soal ganjaran selepas menjadi juara tetapi perlu ingat pertarungan dalam Piala Malaysia lebih getir dan mencabar,'' ujar Zainal.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4fFhTuBPg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan