Isnin, 24 April 2017

Pahang hampiri gelaran

ARKIB : 28/07/2004
Pemain Pahang, Mohd Fadzli Saari (depan) cuba mengejar bola yang cuba dirampas oleh pemain Sarawak, Wong Sai Kong pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam. Pahang menang 3-2. - Gambar Ghazali Basri.


PAHANG menghampiri impian menjadi pasukan pertama muncul juara Liga Super selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Sarawak dalam perlawanan di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.
Dengan dua lagi pencabar terdekatnya iaitu Perak dan Public Bank tewas mengejut kepada lawan masing-masing di tempat sendiri, harapan semakin cerah buat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan untuk merangkul kejuaraan liga itu lebih awal.
Mereka kini hanya perlu memenangi satu daripada baki tiga perlawanan liga lagi yang tinggal untuk mengesahkan kedudukan selaku juara Liga Super 2004.
Jelas nasib lebih berpihak kepada Pahang apabila ketinggalan 2-0 di babak pertama sebelum bangkit di babak kedua.
Sarawak yang mendahului menerusi jaringan Robert Eshun pada minit ke-36 dan Frenando Manual Co pada minit ke-41 sepatutnya mendahului selesa 3-0 sebaik babak kedua bermula.
Tetapi sepakan penalti Eshun pada minit ke-46 gagal menepati sasaran. Kegagalan itu menaikkan semangat pemain-pemain Pahang yang membalas tiga gol selepas itu.
Pemain import, Anthony Milicic memulakan kebangkitan Pahang dengan gol pertama pada minit ke-69 sebelum Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-72 dan seterusnya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah bukan sahaja menerima kejutan malah gagal mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri musim ini apabila tumpas 3-1 kepada Perlis.
Agak mengejutkan, Perlis selesa mendahului 3-0 menerusi dua Mohd. Faisal Mohd. Esahar pada minit ke-3 dan 53 serta Philimon Chipieta di minit ke-73.
Perak memperoleh gol tunggal menerusi Frank Seator pada minit ke-88. Bagaimanapun gol itu sudah terlewat untuk menyekat Perlis membawa pulang tiga mata penuh.
Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Public Bank senasib dengan Perak apabila ditimpa kekalahan mengejut 3-0 kepada Pulau Pinang.
Gol Pulau Pinang dijaringkan Ng Kok Heng pada minit ke-34, Viatcheslav Melnikov (m-40) dan Saufi Ibrahim (m-90).
Sabah pula turut tumpas di gelanggang sendiri apabila dikejutkan Kedah yang menang 2-1 dalam perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Walaupun Sabah mendahului menerusi jaringan Keith Gumbs pada minit ke-8 tetapi mereka gagal menambah jaringan selepas itu.
Sebaliknya Kedah bangkit menerusi dua jaringan pemain importnya, Marcos Magno Morales pada minit ke-31 dan 65.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan