Khamis, 1 Disember 2016

Skuad Pahang digelar 'jaguh kampung'

ARKIB : 22/04/1999
NAMPAKNYA sentuhan jurulatih Pahang, Fuzzeimi Ibrahim hanya menjadi di Stadium Darulmakmur dan jika keadaan itu berterusan, skuad Tok Gajah pastinya akan digelar sebagai 'jaguh kampung.'

Walaupun pelbagai perubahan taktik digunakan ketika bertandang ke gelanggang lawan, Pahang tetap kecundang dan setakat ini pasukan itu hanya mencatatkan keputusan memberangsangkan ketika menentang jiran mereka, Terengganu.

Contoh ketara semasa bertemu Pulau Pinang. Setelah gagal dengan taktik bertahan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Pahang mengasak Pulau Pinang seawal wisel permulaan tetapi padahnya penyerang sensasi Pulau Mutiara, Azman Adnan berjaya melengkapkan hatrik dalam masa yang singkat untuk kemenangan 3-1.

Senario inilah membimbangkan pengurus pasukan, Talib Sulaiman yang turut buntu memikirkan punca kepada nasib malang yang sering melanda skuad itu ketika di gelanggang lawan.

Talib turut mengaku kesilapan percaturan menyebabkan pasukan itu tidak dapat mengekalkan rentak permainan mereka sebaliknya terpaksa menerima asakan lawan yang berterusan.

''Kita silap kerana tidak memberi kawalan ketat terhadap Azman ketika menentang Pulau Pinang, itulah punca kepada tiga gol berturut-turut dijaringkan pemain itu.

''Bagaimanapun setelah kita mengarahkan Shahrul Nizam Sahat merantai Azman keadaan mulai berubah dan Pahang mula menemui rentak tetapi agak terlambat,'' jelasnya.

Mengulas perlawanan malam semalam, Talib berkata, pada separuh masa pertama Pahang bermula dengan agak perlahan menyebabkan banyak ruang terbuka kepada Selangor untuk mencipta peluang.

Pahang, katanya, terus diasak dan kelalaian benteng pertahanan membolehkan pasukan Merah Kuning memperoleh gol pendahuluan melalui Rusdi Suparman.

Bagaimanapun, ujarnya, pada separuh masa kedua kesebelasan pemain Pahang diarahkan melancarkan gerakan yang pantas sehingga menyebabkan pertahanan Selangor terus tersungkur membolehkan Pahang mengutip mata penuh dengan kemenangan 3-1.

Sementara itu Fuzzeimi menafikan beliau menurunkan penjaga gol utama, Mudzar Mohamad yang masih cedera kerana tidak berpuas hati dengan persembahan Zuraimi Hassan.

Menurutnya, kedua-dua penjaga gol itu mempunyai kemampuan yang sama dan beliau mencuba untuk memberi peluang yang sama kepada kedua-dua pemain berkenaan.

''Saya tidak menyalahkan Zuraimi ketika Pahang kecundang kepada Pulau Pinang kerana padang semasa itu agak basah dan asakan lawan bertali arus dan mungkin juga jika Zuraimi diturunkan, Selangor tidak langsung berpeluang untuk menjaringkan gol,'' katanya.

Tambahnya, Zuraimi berlatih dengan rajin dan cukup berkemampuan, tetapi beliau menurunkan Mudzar setelah pemain itu cukup cergas semasa sesi latihan dijalankan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ReQgoPso © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan