Selasa, 20 Disember 2016

Jamal malu prestasi Pahang

ARKIB : 01/05/2000
PENGURUS pasukan Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail berasa malu dan bingung dengan prestasi anak buahnya kelmarin yang masih di takuk lama sehingga 'memanjangkan kemarau kemenangan' selepas empat perlawanan bola sepak liga Perdana Satu.

Jamal berkata, beliau malu menyaksikan corak permainan pemain yang belum menunjukkan kemajuan dan bingung kerana persembahan mereka nyata terlalu jauh untuk dapat dibanggakan.

Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) itu juga mengakui sudah kebuntuan ilham untuk mengubah prestasi Tok Gajah yang cuma seri dua kali dan kalah dua kali, selepas ini.

''Tak tahu mana saya nak sorok muka dengan persembahan sebegini. Setelah segalanya PBNP sediakan, saya tidak tahu apa lagi yang tidak kena dengan pemain sampai bermain seteruk ini,'' katanya.

Menurut beliau, tambah mengaibkannya ialah Pahang cuma gah atau indah khabar dari rupa dengan kehadiran tonggak skuad negara sedangkan prestasi pasukan saban hari tetap hambar.

Jamal berkata, berbanding pemain seangkatannya dulu, pemain Pahang sekarang patut berasa bertuah dan berterima kasih kepada persatuan yang banyak menjaga kebajikan mereka.

''Cuma harapan saya selepas ini ialah pemain segera insaf dan bertanya kepada diri, apakah mereka mampu memenuhi janji yang diberi sebelum mengikat kontrak dengan Pahang dulu.

Beliau mengingatkan pemain bahawa prestasi hambar mereka telah turut mengurangkan kadar kehadiran penyokong setia Tok Gajah ke Stadium Darul Makmur, Kuantan dari sehari ke sehari.

''Contohnya ketika menentang Pulau Pinang, peminat semakin hari sudah mula menjauhkan diri,'' katanya mengulas aksi Pahang, juara bertahan Perdana Satu yang sekadar seri 1-1 kelmarin.

Katanya, kehilangan 10 mata daripada empat perlawanan liga meletakkan Pahang dalam situasi cukup sulit dan perlu bertindak drastik untuk menebus dan mengejar semula pasukan lain selepas ini.

Justeru, beliau tidak teragak-agak untuk menggugurkan sebahagian besar tonggak pasukan menjelang kunjungan ke Stadium Likas, Kota Kinabalu bagi menghadapi Sabah, esok.

''Mereka yang dianggap tiada komitmen lagi dengan pasukan, tidak perlu bersama ke Kota Kinabalu,'' katanya sambil berharap, tindakan ini mampu menyedarkan mereka segera bahawa persatuan tidak akan sesekali berkompromi dalam soal tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TOntTbQi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan