Selasa, 13 Disember 2016

Pahang bertekad rangkul tiga piala musim depan


 

ARKIB : 27/12/1999
Pahang bertekad rangkul tiga piala musim depan
JAMAL NASIR ISMAIL.

PASUKAN Pahang bertekad mencatat sejarah tersendiri pada alaf baru ini dengan merangkul kesemua piala dan kejuaraan yang dipertarungkan pada musim depan.

Keazaman itu jelas dilihat daripada senarai para pemain baru yang menandatangani kontrak dengan Pahang kali ini yang kebanyakan pemain tengah dan serangan.

Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) merangkap Pengurus Pasukan Pahang, Datuk Jamal Abdul Nasir Ismail berkata, PBNP menyenaraikan 23 pemain pada musim ini.

Kebanyakan mereka, katanya, adalah di posisi tengah dan serangan serta beberapa pemain sahaja di bahagian pertahanan serta penjaga gol.

Ini adalah kerana, kata beliau, pada musim lalu akibat daripada kurang mempunyai pemain berwibawa di bahagian tengah dan serangan telah menyebabkan Pahang terlepas untuk merangkul Piala Malaysia.

''Semasa di peringkat liga kita tidak menghadapi masalah kerana kesemua pemain utama dapat diturunkan, bagaimanapun masalah mulai timbul apabila memasuki persaingan Piala Malaysia kerana banyak pemain utama yang telah cedera.

''Oleh itu kita terpaksa turunkan pemain simpanan yang tidak mempunyai kemampuan yang seimbang dengan pemain utama seperti di posisi penyerang Azizul Kamaludin dan Wan Rohaimi Wan Ismail,'' katanya kepada pemberita di Kuantan, semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan pemain menandatangani kontrak masing-masing pada kira-kira pukul 11 pagi di pejabat PBNP.

Selain itu, kata beliau, PBNP juga menambah peruntukan tahun ini sebanyak RM300,000 kepada RM2.7 juta bagi perbelanjaan membeli pemain baru dan kenaikan gaji para pemain antara lima hingga 10 peratus.

Bagaimanapun, jelasnya, tahap siling gaji RM8,000 akan dikekalkan terhadap semua pemain dengan pemain yang mewakili pasukan kebangsaan akan memperoleh gaji RM5,000 ke atas.

Sementara pemain yang hanya beraksi pada peringkat negeri, katanya, menerima gaji RM5,000 ke bawah dan pemain muda yang dibawa masuk menerima gaji sebanyak RM1,000.

Pahang, tambahnya, akan menghadapi perlawanan mereka pertama iaitu pada 25 Februari hingga 9 Mac apabila terpilih mewakili negara pada kejohanan antara kelab di Brunei.

Oleh itu beliau berharap para pemain akan mengekalkan prestasi mereka dan tahap disiplin yang tinggi bagi memastikan Pahang menang di dalam semua perlawanan yang dihadapi.

Kongsi Konten di :

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SnIYW4Z2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan