Sabtu, 3 Disember 2016

Pemain kurang profesional punca Pahang kalah

ARKIB : 03/06/1999
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menyalahkan sikap pemainnya yang kurang profesional sehingga menyebabkan pasukan itu tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut kepada Negeri Sembilan, lapor YUSWANDI MAJID.

Skuad Tok Gajah tewas secara agregat 1-6 (1-3 di Kuantan, kelmarin dan 0-3 di Seremban) pada suku akhir Piala FA selain kalah 0-4 dalam Liga Perdana Satu.

Naib Presiden I PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, kekalahan tiga kali berturut-turut kepada pasukan yang sama, menggambarkan mentaliti pemain yang masih rendah dalam menghadapi setiap perlawanan.

''Selepas tewas pertama, para pemain seharusnya sudah dapat membaca pergerakan lawan tetapi mereka gagal dan tewas dua kali lagi selepas itu,'' katanya ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah ahli mesyuarat kerajaan negeri di Istana Abu Bakar, Pekan semalam.

Jamal berkata, para pemain tidak boleh menyalahkan pihak pengurusan kerana kekalahan yang dialami adalah dengan pasukan yang sama dan dengan jaringan yang besar.

''Jangan salahkan pihak pengurusan dengan prestasi sedemikian kerana kekalahan seperti itu tidak boleh diterima dan ini berkaitan dengan sikap pemain sendiri,'' katanya.

Beliau berkata, rentetan kekalahan yang dialami itu menunjukkan para pemain tidak belajar daripada kesilapan dan ini menunjukkan mereka kurang profesional.

Katanya, kekalahan pertama kepada Negeri Sembilan dengan jaringan 0-3 dalam pusingan pertama pusingan suku akhir, seharusnya menjadi pengajaran kepada skuad Pahang.

''Namun mereka gagal membaca gerakan lawan dan tewas sekali lagi dengan 0-4 dalam perlawanan Liga Perdana dan sekali lagi malam semalam,'' katanya.

Beliau berkata, prestasi pemain juga tidak meningkat berbanding pasukan lain dan mereka seolah-olah sudah sampai ke kemuncak prestasi setelah menghuni takhta Liga Perdana.

''Dengan prestasi seperti itu, saya tidak terkejut sekiranya Pahang akan dipintas oleh pasukan lain dalam persaingan seterusnya,'' katanya.

Jamal berkata, dalam perlawanan bola sepak, aspek stamina dan skil bukanlah segala-galanya kerana aspek lain seperti mentaliti yang betul dan kerjasama berpasukan juga penting.

Beliau berkata, bagaimanapun, ada kalangan para pemain yang mempunyai sikap yang betul ketika perlawanan dan sentiasa bermain bersungguh-sungguh antaranya Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RpmplWhG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan