Ahad, 4 Disember 2016

Pahang hampiri kejuaraan


 

ARKIB : 13/06/1999
PEMAIN Kedah, Radhi Mat Din menggunakan kemahiran tersendiri untuk mengawal bola biarpun diekori Burhan Ajui dari Sabah pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam. Sabah menang 2-1. - Gambar GHAZALI BASRI.

PAHANG menghampiri matlamat untuk menjuarai Liga Perdana Satu musim ini apabila menang tipis 1-0 ke atas pencabar terdekatnya Pulau Pinang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Perlawanan kedua pasukan yang berada di dua tempat teratas liga itu nyata hebat dengan insiden yang menghiburkan.

Perlawanan itu bagaimanapun dicemari dengan pergaduhan antara pemain pertahanan Pahang, K. Ramachandran dan penyerang Azman Adnan sehingga kedua-dua dibuang padang pada minit ke-68.

Saingan sengit antara kedua-dua pasukan bermula sebaik sahaja wisel ditiupkan. Namun, pasukan Pahang yang lebih awal melancarkan serangan dan berjaya mendapatkan gol pertama seawal minit keempat melalui penyerang utamanya, Azizul.

Gol itu berpunca daripada hantaran Hairul Nizam Haniff yang gagal ditolak keluar oleh pertahanan Pulau Pinang dan akhirnya dirembat masuk oleh Azizul.

Perlawanan kedua-dua pasukan ini nyata sengit dengan beberapa percubaan yang hampir menghasilkan gol sehingga menggamatkan kira-kira 15,000 penonton.

Azman Adnan yang dikawal ketat, berjaya membolosi pertahanan Pahang pada minit keenam, namun sepakan leretnya ditepis keluar oleh Mudzar.

Pahang yang menguasai perlawanan babak pertama, juga melancarkan serangan bertubi-tubi dan beberapa kali hampir menewaskan Azlisham Ibrahim.

Perlawanan babak kedua bermula agak perlahan tetapi bertukar menjadi rancak dan keras sehingga mencetuskan insiden pergaduhan antara pemain Pahang R. Ramachandran dan Azman Adnan.

Namun begitu babak kedua juga menyaksikan percubaan menarik kedua-dua pihak memaksa penjaga gol kedua-dua pasukan menyelamatkan beberapa percubaan. Mudzar bertindak cemerlang pada minit ke-66 menangkap kemas sepakan Woon Seang.

Ketika perlawanan berbaki tiga minit lagi, Pulau Pinang berjaya membolosi gawang Pahang melalui R. Suresh Kumar namun gol itu tidak disahkan kerana ofsaid.

Sementara itu, jaringan pada minit akhir oleh Henry Saimpon membantu Sabah meraih tiga mata penuh, sekali gus layak secara automatik ke Piala Malaysia apabila menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sebelum itu, perlawanan kelihatan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1.

Pasukan pelawat lebih dulu membuka jaringan menerusi Norizam Ali Hassan pada minit kesembilan
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RsLP4pk5 © Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan