Isnin, 5 Disember 2016

Pengurus Tok Gajah merajuk

ARKIB : 25/06/1999
KEGEMBIRAAN Pahang menjulang juara liga 1999 tidak berpanjangan apabila pasukan itu terus dilanda kontroversi dengan kali ini pengurus pasukan, Talib Sulaiman mahu meletakkan jawatan.

Talib bertekad melepaskan jawatan yang disandangnya sejak awal musim lalu kerana kecil hati dengan kenyataan seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) yang mengumumkan akan melantik pengurus baru pada musim akan datang.

Bagaimanapun sebagai memenuhi tanggungjawab meneruskan persaingan skuad Tok Gajah ke Piala Malaysia, penghulu mukim Sanggang, Temerloh itu semasa dihubungi berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sehingga habis musim.

''Saya perlu buat pengumuman awal kerana pegawai PBNP itu telah memaklumkan bahawa sudah ada pengganti untuk jawatan ini, ini terlalu awal, memang saya kecil hati,'' ujarnya.

Sedangkan, Talib menambah, kontraknya selaku pengurus adalah terbuka dan bukan berdasarkan tahun demi tahun seperti pemain serta bergantung kepada keperluan dan pencapaian pasukan.

Dalam hal berkenaan, beliau menjelaskan, kejayaan merangkul Piala Liga merupakan satu pencapaian yang menepati sasaran sebagaimana ditetapkan.

Makluman yang terlalu awal itu pastilah mengecewakan Talib lebih-lebih lagi beliau terpaksa berulang-alik dari Temerloh ke Kuantan sejauh kira-kira 90 kilometer untuk meninjau dan menyelesaikan sebarang masalah anak buahnya.

Talib yang dikenali sebagai orang yang sentiasa berhati-hati mengeluarkan kenyataan kepada akhbar sebelum ini telah mengumumkan 'hadiah besar' buat pemain kerana berjaya menjulang Piala Liga.

Difahamkan pengumuman itu telah menimbulkan rasa tidak senang beberapa pihak kerana ia tidak dibawa berbincang dengan pegawai atasan terlebih dahulu.

Talib menegaskan, beliau akan memaklumkan keputusannya itu kepada Presiden PBNP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam masa terdekat ini.

''Tetapi saya telah maklumkan kepada pemain sebaik sahaja mereka ditabalkan juara Piala Liga Perdana Satu di Stadium Darulaman, keputusan ini amat berat tetapi saya perlu buat.'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum menerima maklum balas daripada pemain kerana pada ketika ini mereka sedang bercuti kira-kira dua minggu sebelum sepak mula Piala Malaysia bermula.

Keputusan Talib itu sekali gus menambah koleksi kontroversi dalam PBNP di mana sebelum ini mereka telah kehilangan penolong jurulatih, Azam Abu Bakar dan diikuti 'peletakan jawatan' jurulatih Alan Davidson.

Talib bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan di mana beliau pernah bersama Pahang pada musim 1974-1982 dan mewakili skuad kebangsaan pada tahun 1977.

Oleh: ZULKEFLI HAMZAH

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rx8UKhZv © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan