Sabtu, 3 Disember 2016

Pahang terus terajui liga Perdana Satu

ARKIB : 23/05/1999
PAHANG terus menerajui liga bola sepak Perdana Satu selepas menumpaskan Terengganu 2-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Nasib Pahang segemilang jersi serba kuning yang disarung pemainnya sekali gus menidakkan hasrat pencabar terdekat, Pulau Pinang untuk memintasnya.

Perlawanan tersebut seperti ulang tayang perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu ketika Pahang menewaskan skuad bimbingan Yunus Alif dengan jumlah gol yang sama.

Bukan itu sahaja, Wan Rohami Wan Ismail jugalah yang menjaringkan dua gol Pahang dan Terengganu membalas menerusi Sapian Wahid.

Pahang memulakan separuh masa pertama dengan rentak yang agak perlahan dan tempoh 45 minit dikuasai sepenuhnya oleh pasukan pelawat.

Penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad dipaksa bertungkus lumus ke setiap sudut untuk menyelamatkan percubaan penyerang Terengganu terutama Sapian dan Wan Ahmad Ridzuan Hussin.

Kecemerlangan pelawat terserlah pada minit ke-21 apabila Sapian pantas melayangkan badan untuk menanduk bola hantaran dari kiri penjuru oleh Wan Ahmad Ridzuan untuk gol pendahuluan.

Separuh masa kedua menyaksikan Tok Gajah terus bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-49 setelah Wan Rohaimi berjaya menguis masuk hantaran Jalaluddin Jaafar dari penjuru kanan.

Ayam tambatan Pahang itu sekali lagi menggegarkan jaring gol lawan pada minit ke-84 dan kali ini gol diperoleh setelah Wan Rohaimi menolak masuk ketika berlaku pergelutan di hadapan pintu gol.

Sementara itu, kemenangan memihak kepada pasukan tuan rumah, Perak setelah menumpaskan Sarawak 2-1 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Walaupun bermula dengan suasana yang agak hambar, separuh masa pertama menyaksikan Sarawak mendahului dengan satu gol melalui jaringan Ramles Sari pada minit keenam.

Bagaimanapun, Perak cuba mencari gol dengan membuat beberapa serangan berbahaya namun gagal menyempurnakan peluang-peluang mencipta gol tersebut.

Peluang keemasan menjaring gol yang paling cantik gagal disempurnakan apabila cubaan R. Vikneswaran dihalang oleh pemain skuad Bujang Senang.

Pemain Sarawak, Nazri Yunus mendapat kad kuning apabila menjatuhkan pemain Seladang, K. Nantha Kumar pada minit ke-45.

Separuh masa kedua menyaksikan permainan yang mula menyengat apabila pasukan Seladang mendapat gol pertama hasil jaringan Liew Kit Kong pada minit ke-56 setelah berjaya merebut bola dalam pergelutan di hadapan gol lawan.

Seminit sebelum itu, pada minit ke-55, tendangan rakan sepasukannya, Lim Seng Kong, gagal mencari jaringan walaupun mendapat satu peluang yang cantik melalui tandukan Kit Kong.

Tendangan Seng Kong, yang sepatutnya merupakan gol pertama Perak, tersasar dan keluar dari padang.

Namun jaringan Kit Kong seminit kemudiannya berjaya menggembirakan para penyokong pasukan Kejor Yob Kejor yang menanti-nanti gol pasukan itu.

Pasukan Seladang itu seakan-akan mendapat suntikan semangat apabila tidak sampai lima minit selepas itu, gol kedua yang juga merupakan gol kemenangan pasukan tersebut berjaya diperoleh.

Gol kedua pasukan pernah menyandang juara Piala Malaysia musim lalu, terhasil pada minit ke-72, daripada kuisan M. Nagaraja yang menerima hantaran silang dari Seng Kong.

Jaringan itu melengkapkan aksi menarik rakan sepasukan, Azrul Amri Burhan dan Roslan Hamid, sejurus sebelum itu.

Pada saat-saat terakhir permainan, pemain Bujang Senang, Zaidel Sakup menerima kad merah kerana menjatuhkan Kit Kong.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RlrnDpby © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan