Rabu, 30 November 2016

Alif Rohaimin beban baru Tok Gajah

ARKIB : 15/04/1999
MASALAH disiplin pemain skuad Tok Gajah nampaknya terus menjadi beban pengurusan dengan kali ini, pemain tengahnya, Alif Rohaimin Azizhan ponteng beberapa sesi latihan dan perlawanan.

Jika dulu bekas pemain pertahanan, K. Ramachandran dikenakan denda kerana masalah yang sama, kes Alif dijangkakan akan memaksa Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengambil tindakan lebih tegas.

Pengurus pasukan, Talib Sulaiman berkata, beliau akan mencadangkan supaya tindakan diambil terhadap Alif dalam satu surat yang akan diserahkan kepada Setiausaha PBNP, Ahmad Fuad Daud tidak lama lagi.

Katanya, antara lain, surat berkenaan juga mencadangkan supaya PBNP mendenda Alif berikutan sikap kurang berdisiplin pemain berkenaan dengan tidak menyertai beberapa sesi latihan serta gagal beraksi di Brunei.

''Alif sudah beberapa kali memberikan alasan untuk tidak menghadiri latihan termasuk menyatakan bahawa dia terlibat dalam kemalangan dan mengalami sakit dada.

''Beliau juga gagal beraksi di Brunei pada 6 April lalu kerana tidak memperbaharui pasport antarabangsanya,'' kata Talib ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Alif di sini, semalam.

Dengan tindakan yang bakal diterima Alif itu, menjadikannya pemain kedua Pahang yang dikenakan denda oleh PBNP kerana kurang disiplin.

Alif yang merupakan seorang pemain berkemahiran tinggi telah menjaringkan dua gol dalam Liga Perdana, sebelum ini diberi amaran oleh pengurusan pasukan Pahang supaya lebih berdisiplin.

''Sebagai pemain yang mempunyai kemahiran tinggi, Alif mempunyai masa depan yang cerah namun beliau perlu mengubah sikap dan lebih berdisiplin menjalani latihan,'' kata Talib.

Oleh: YUSWANDI MAJID

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RUF5byAy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan