Khamis, 15 Disember 2016

Reputasi Pahang masih utuh

ARKIB : 13/02/2000
KETUMPULAN penyudah mungkin menjadi masalah baru Pahang pada perlawanan persahabatan ketiga Khamis lalu tetapi bagi jurulatih Fuzzeimi Ibrahim, dia masih boleh bertolak ansur tentang itu.

Fuzzeimi menganggap, menentang Johor FC di Kuantan itu sekadar perlawanan yang bersifat latihan menjelang saingan bola sepak Liga Malaysia, bulan depan dan anak buahnya tidak perlu didesak bermain bermati-matian.

Skuad Tok Gajah menang 2-0 hasil jaringan Shahrin Majid dan Jalaluddin Jaafar dalam perlawanan yang turut menyaksikan kemunculan semula penyerang harapan, Wan Rohaimi Ismail dan Azizul Kamaluddin itu.

Fuzzeimi juga masih mampu berkompromi biarpun prestasi Rohaimi dan Azizul belum mencapai tahap memuaskan gara-gara baru kembali daripada pembedahan kecederaan kaki masing-masing.

''Kami ada banyak peluang tetapi sulit untuk mencipta jaringan. Saya tidak boleh desak Rohaimi dan Azizul untuk melakukan sesuatu walaupun mereka sendiri yang bertegas mahu bermain.

''Apa pun, menang 2-0 boleh dianggap OK. Dalam pada itu saya lihat aksi pemain lama, Azharuddin Aziz di bahagian tengah turut membawa petanda yang membina buat Pahang,'' katanya. Fuzzeimi turut mempertahankan gandingan eksperimen serangannya, Shahrin-Wan Ridzuan Hussin yang hanya mula digunakan sejak perlawanan persahabatan kedua menentang NS Chempaka di Bentong, minggu lalu.

''Ridzuan mungkin gagal dalam penyudahan kali ini tetapi dia tampak mampu menyesuaikan kedudukannya dalam corak serangan pantas Pahang,'' kata Fuzzeimi lagi.

Walau bagaimanapun, reputasi Pahang selaku juara bertahan Perdana Satu masih lagi dianggap utuh selepas tiga perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan, NS Chempaka dan Johor FC ini.

Pahang seri 1-1 dengan pasukan Perdana Satu, Negeri Sembilan di Paroi tetapi tampak garang ketika membenam dua anggota Perdana Dua, NS Chempaka 3-1 dan anak buah Bruce Stowell 2-0, Khamis lalu.

Skuad Tok Gajah akan menentang Angkatan Tentera Singapura yang dibimbing oleh bekas penyerang sensasi Asia, Fandi Ahmad dalam perlawanan persahabatan keempatnya di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selasa ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SuqxRLhU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan