Jumaat, 9 Disember 2016

Tok Gajah benam Kuala Lumpur

ARKIB : 29/09/1999
JUARA liga, Pahang menguasai kedudukan mata kumpulan B bola sepak Piala Malaysia selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung Stadium Bola Sepak KLFA Cheras, semalam.

Sentuhan gol Shahrulnizam Sahat pada minit ke-30 dan Tengku Hazman Raja Hassan pada minit ke-72 dan 79 cukup untuk meletakkan pasukan Tok Gajah di tangga teratas kumpulan dengan mengumpul enam mata.

Gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Nizaruddin Yusof pada minit ke-21.

Kuala Lumpur yang tewas 1-3 kepada Brunei minggu lepas nyata bertenaga dalam usaha mencari kemenangan pertama, sekali gus mengembalikan prestasi cemerlang seperti yang dipamerkan dalam pertandingan liga sebelum ini.

Corak permainan yang lebih kemas dan teratur pasukan ibu kota itu telah beberapa kali memerangkap pasukan pelawat yang nampak agak tertekan pada awal-awal permainan.

Begitu pun, ketumpulan barisan serangan KL yang diterajui oleh pemain muda Mohd Farid Dewan menghampakan pasuka tuan rumah untuk mendapat gol awal. Kekebalan pertahanan Pahang juga turut menjadi punca kepada kehampaan Kuala Lumpur untuk memecah kebuntuan.

Setelah terlepas beberapa peluang awal itu, asakan bertali arus pasukan tuan rumah itu akhirnya mendatangkan hasil. Nizaruddin mencipta nama sebagai penjaring yang menyempurnakan sepakan sudut oleh K. Nanthakumar pada minit ke-21.

Gol terseut terus menyemarakan serangan pasukan tuan rumah tetapi penjaga gol Pahang Zuraimi Hassan bertindak cemerlang untuk menyelamatkan keadaan.

Ketika Pahang sudah mengembalikan rentak mereka, keadaan mula berubah apabila kedua-dua pasukan sering berbalas serangan. Kali ini Pahang lebih banyak mengatur gerak yang sekaligus dihadiahkan gol penyamaan pada minit ke-30 melalui rembatan Shahrulizam Sahat.

Babak kedua semakin mempamerkan aksi yang lebih menarik - pantas dan mencemaskan tetapi penjaga gol kedua-dua pasukan ternyata hebat megawal kubu masing-masing daripada ditembusi.

Kuala Lumpur seharusnya dihadiahkan gol kedua tetapi percubaan jarak dekat Farid Dewan pada minit ke-55 tersasar.

Ketika permainan hanya tinggal 20 minit, Pahang membuktikan kecemerlangan mereka. Bekas pemain skuad Olimpik negara, Tengku Hazman megubah keadaan apabila menjaringkan dua gol untuk pasukannya pada minit ke-72 dan 79 untuk kemenagan mutlak Pahang.

Sementara itu, di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, dua gol masing-masing menerusi Azman Adnan dan Moey Kok Hong kembali memulihkan semangat Pulau Pinang apabila mencatat kemenangan sulung dalam kumpulan B semalam.

Satu jaringan tambahan daripada Hasmawi Hassan pula melengkapkan kenduri gol skuad Harimau Kumbang itu.

Penyu yang tampil sebagai naib juara tahun lalu tetapi ditimpa kekalahan cukup pedih itu, sekadar beroleh jaringan sagu hati menerusi Anuar Jusoh.

Azman membuktikan sentuhannya apabila membuka jaringan pada minit ke-15 dan nyaris menepati sasaran sejurus kemudian jika tidak kerana perangkap ofsaid.

Namun dari jarak 50 meter, sepakan Anuar menerjah gawang untuk jaringan penyamaan hasil sepakan percuma, tujuh minit selepas gol Azman.

Sepakan percuma bagaikan banyak mendatangkan tuah cuma kali ini giliran tuan rumah memanfaatkannya untuk gol kedua menerusi Moey Kok Hong dari luar kotak penalti minit ke-49.

Sepakan yang sama sentuhan R. Suresh Kumar terus menguntungkan tuan rumah yang mendorong jaringan Hasmawi disusuli Kok Hong, minit ke-62 untuk gol ketiga dan keempat.

Azman merobek luka skuad Penyu dengan kuisannya yang menghasilkan gol terakhir Pulau Pinang pada minit ke-69 selepas menerima hantaran Fouzi Soh dari sebelah kanan.

Sedang tuan rumah kian berpesta di tengah hujan lebat, Terengganu sebaliknya ditimpa malang berganda apabila pemainnya, A. Ganeson pula diperintah keluar padang setelah dilayangkan kad merah kerana mengasari Azman.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SM68l4r1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan