Khamis, 15 Disember 2016

Shahrin, Ridzuan mampu menggempur -- Gandingan baru

ARKIB : 09/02/2000
PAHANG dijangka mempertaruhkan gandingan eksperimen, Shahrin Majid dan Wan Ahmad Ridzuan Hussin sebagai tenaga penggempur terbarunya menggantikan Wan Rohaimi Ismail-Azizul Kamaluddin yang masih dibelenggu kecederaan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Kepercayaan baru jurulatih Fuzzeimi Ibrahim sudah pun dibalas oleh Shahrin-Ridzuan ketika mengemudi barisan serangan menghadapi NS Chempaka dalam perlawanan persahabatan, Ahad lalu selain menentang Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Tidak hairanlah Fuzzeimi kini mampu menarik nafas lega dengan persembahan positif ayam tambatan barunya itu yang cuma mula mengikat kontrak dengan Tok Gajah bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Malaysia musim ini.

''Tahap persembahan mereka bukanlah 100 peratus tapi apa yang penting, kesungguhan dan persefahaman yang mereka pamerkan,'' ulas Fuzzeimi ketika dihubungi, semalam.

Barisan Pahang yang majoritinya berwajah baru akibat kehilangan pemain ke skuad negara dan masalah kecederaan, masih mampu membenam NS Chempaka 3-1 di Padang Kompleks Sukan Bentong.

NS Chempaka, pasukan bahagian dua Liga Perdana musim ini, turut membariskan tiga bekas pemain Pahang iaitu Raizuwah Idris, Za Zakaria dan Ahmad Shukri Mustapha.

Ridzuan dalam perlawanan itu, sempat menyumbangkan satu gol bersama rakan senegerinya dari Terengganu, Badrul Afzan Razali di samping jaringan tambahan oleh bekas ketua pasukan Kuala Lumpur, P. Saravanan.

Sebelum itu, juara bertahan bahagian satu Liga Perdana ini pada awal bulan ini, mengikat Negeri Sembilan 1-1 yang membariskan bekas penyerang sensasi negara, Azman Adnan dan Azmi Mohamad.

Fuzzeimi menambah, apa pun dia gembira dengan prestasi pemainnya yang berjaya menunaikan tugas masing-masing sambil tidak lupa arahan yang diberinya.

Selain Azizul dan Rohaimi, penjaga gol Muadzar Mohamad dan Mohd. Ali Tahar masih lagi terpaksa diketepikan dalam perlawanan persahabatan seterusnya - menentang Angkatan Tentera Singapura dan Johor FC kerana masalah kecederaan.

Seorang lagi penjaga gol, Zuraimi Hassan, Ahmad Shahruddin Rosdi, Hairul Nizam Haniff dan Idris Karim turut terkecuali kerana mengikuti sesi latihan skuad negara bagi menghadapi kelayakan Piala Asia, bulan depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SubOu8Bl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan